Pages

Thursday, 9 April 2015

SISTEM PEMERINTAHAN ISLAM PERNAH DILAKSANAKAN DI TANAH MELAYU

Seorang pengunjung memohon menerbitkan rencana yang ditulisnya untuk dikongsi bersama-sama dengan umat Islam di Malaysia. Marilah kita baca dan nilaikan sendiri pandangan pengunjung ini. 

Beliau seorang VIP yang pernah bertugas di peringkat antarabangsa.

********************

Sistem Pemerintahan Islam Pernah diLaksanakan di Tanah Melayu

Oleh: Hashimi The Jigit

Sekarang ini kita sedang dihebohkan dengan isu HUDUD (sebenarnya hanyalah beberapa pindaan ke atas hukuman jenayah yang sedia ada di Kelantan) yang sedang dibawa oleh PAS untuk dibentangkan di Parlimen. Walau pun usaha tersebut tidak sampai ke mana, bahkan berkemungkinan besar gagal dibawa ke Parlimen atau mendapat undi “simple majority” untuk kelulusan parlimen, para “promoter” enakmen hudud tersebut jelas berbangga dan berharap akan dapat meraih sokongan politik dalam Muktamar PAS yang akan datang kerana tindakan mereka memperjuangkan perlaksanaan hukum Allah, meskipun di dalam skop yang terlalu kecil dari keseluruhan sistem pemerintahan Islam yang sebenar.

Namun begitu, implikasi yang lahir dari inisiatif PAS Kelantan ini amatlah besar dalam melakarkan suasana politik di negara ini sehingga menimbulkan bibit-bibit perpecahan di dalam permuafakatan pakatan pembangkang (Pakatan Rakyat) kerana penolakan DAP dan PKR terhadap usaha PAS tersebut. Di suatu sudut lain, isu ini juga meletakkan UMNO di dalam keadaan serba salah dan tertekan kerana pada mulanya UMNO Kelantan telah sebulat suara menyokong pindaan rang undang-undang ini di Dewan Negeri, namun apabila tiba ke peringkat parlimen, mula timbul komen-komen jelas dari beberapa Menteri Kabinet UMNO bahawa mereka tidak mungkin dapat menyokong pindaan rang undang-undang tersebut jika di bentangkan di Palimen kelak. Sehingga kini Perdana Menteri masih membisu dari menyatakan pendirian beliau terhadap cadangan PAS. Sementara itu Menteri UMNO yang bertanggung jawab di atas hal ehwal Islam berdolak-dalek apabila ditanya status perkara tersebut oleh MP PAS semasa perbahasan. Menteri Pelancungan yang juga seorang Islam pula menyifatkan orang-orang yang membincangkan HUDUD di negara ini adalah BODOH kerana tidak mungkin HUDUD dapat dilaksanakan kerana ianya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kepada saya ianya adalah cuma alasan remeh ibarat seorang petani yang malas memberikan alasan hujan yang turun menyebabkan beliau tidak dapat keluar bekerja. Hakikatnya, jika pindaan terhadap hukuman-hukuman jenayah tertentu yang diamalkan di Mahkamah Syariah Kelantan sekarang ini jika diluluskan oleh Parlimen sekali pun, ianya tidak akan merubah negara ini menjadi sebuah negara Islam. Malaysia akan tetap kekal sebagai negara sekular. Sekarang siapa yang BODOH sebenarnya……..Menteri Pelancungan atau orang-orang yang membincangkan HUDUD? Ketakutan UMNO yang sebenarnya ialah bantahan daripada rakan utama iaitu MCA dan Gerakan. Lagi pun melihat kepada cara hidup mereka, kebanyakan pemimpin-pemimpin UMNO bukanlah berjiwa Islam dan sanggup mengambil risiko untuk kehilangan kuasa kerana mahu menegakkan undang-undang Islam. 

Kepada saya di dunia ketika ini belum ada MODEL sebuah negara Islam dalam ertikata sebenar-benarnya iaitu negara yang mengamalkan pemilihan pemimpin yang memenuhi ciri-ciri pemimpin Islam, mengamalkan sistem ekonomi berlandaskan syariat serta melaksanakan hukum jenayah berlandaskan Al Quran dengan seadil-adilnya. Pakistan, Arab Saudi, Yemen atau Iran bukanlah contoh sebuah negara Islam. Hanya kerana negara-negara tersebut mengamalkan beberapa hukuman hudud maka negara-negara ini dinamakan negara Islam. Sebenarnya hudud hanyalah sebahagian kecil dalam sebuah sistem pemerintahan Islam. 

Barangkali memang tabiat semula jadi orang-orang Melayu agaknya suka menyusahkan orang yang mahu mendekati Islam. Jika seseorang mahu memeluk Islam, perkara yang diutamakan ialah beliau mesti bersunat (circumsized) terlebih dahulu. Sedangkan untuk mewujudkan sebuah pemerintahan Islam, pertama sekali masyarakat Islam mestilah terlebih dahulu bersatu dan secara kolektif mengamalkan cara hidup mulia serta berkelakuan terpuji sehingga orang bukan Islam merasa kagum kepada perlakuan mereka serta gerun kepada kekuatan mereka. Tak perlu memberi amaran untuk menjentik orang bukan Islam apabila sudah kuat. Kekuatan serta penguasaan ekonomi oleh masyarakat Islam pula mesti dibina terlebih dahulu supaya orang Islam mampu berdaya saing di mana mereka saling membantu. Remaja Islam mesti memiliki berbagai cabang ilmu kerana ustaz atau lepasan universiti timur tengah sahaja tidak mampu mentadbir negara di zaman globalisasi ini. 

Ianya bermula dengan pemimpin itu sendiri yang perlu mempamirkan keindahan cara hidup Islam. Sultan, Raja-Raja Melayu, Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, Pemimpin-pemimpin Parti Pembangkang juga hendaklah cintakan agama serta hidup berlandaskan tuntutan agama, tidak bermewah-mewah mengumpul harta melalui jalan salah, bencikan rasuah, tidak menipu, menindas rakyat, menyalahguna kuasa dan sebagainya. Apabila Perdana Menteri seorang yang amanah dan jujur, rakyat pasti mengikut jejak-langkah beliau. Contoh kecil ialah Al Marhum TG Nik Aziz. Berpuluh tahun memegang jawatan Menteri Besar, namun tetap memilih cara hidup sederhana serta berperibadi mulia sehinggakan orang bukan Islam pun turut menghormati beliau. Bayangkan jika Dato Seri Najib memiliki keperibadian demikian rupa dan menteri-menteri kabinet semuannya berperangai macam TG Nik Aziz, Malaysia kini pasti berada di puncak jaya dan menjadi kebanggaan umat Islam di seluruh dunia. Jika kita mempunyai pemimpin sedemikian rupa, tiada siapa yang akan membantah sekiranya sistem pemerintahan Islam ingin ditegakkan. Orang bukan Islam juga tidak ada sebab untuk membantah. 

Mungkin ramai yang skeptikal bahawa perkara tersebut boleh berlaku atau kemungkinan ianya terjadi adalah seumpama menunggu babi boleh terbang. Jika begitu tidak ada salahnya jika pemimpin-pemimpin PAS memulakan jihad ini dengan menunjukakan keperibadian Islam yang mulia, membentuk sebuah masyarakat yang terpuji, jujur, iklas dalam perjuangan serta menjauhi perbuatan-perbuatan keji seperti membakar kereta atau membelasah saudara Islam yang tidak bersetuju dengan kita. Presiden parti tidak boleh memaki orang atau memberi gelaran buruk kepada orang yang tidak disukai. Tunjukkan tingkah-laku dan tauladan yang baik kepada rakan dan musuh. Perkuatkan parti dan Jemaah sebelum tergopoh-gopoh melakukan sesuatu dengan niat mahu meraih sokongan politik. Setiap suatu perbuatan hendaklah dibuat kerana Allah bukannya kerana kepentingan peribadi. Tidak boleh bersifat hiopokrit. 

Pemerintahan Islam bukannya tidak pernah dilaksanakan di Nusantara ini. Malahan di beberapa negeri di Tanah Melayu seperti Terengganu dan Kelantan pernah melaksanakan pemerintahan Islam untuk beberapa abad lamanya. Ada pun Terengganu mencapai zaman kegemilangannya di bawah pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881-1918). Baginda adalah seorang raja yang sangat warak serta tidak jemu-jemu mendalami ilmu agama. Baginda menjadikan para ilmuan dan cendiakiawan Islam sebagai penasihat dan guru. Ini komen Frank Sweetenham, Gavernor Negeri-Negeri Selat di waktu itu mengenai Sultan Zainal Abidin. 

“….Sultan Zainal Abidin III itu adalah seorang yang sangat pendiam, dan seorang Islam yang sangat soleh. Dasar pemerintahan yang dijalankan baginda tidaklah akan menceburkan diri baginda kepada kebinasaan……….Baginda bukanlah seorang yang KAYA……”

Frank Sweetenham gagal memujuk Sultan Zainal Abidin III untuk membawa Terengganu bernaung di bawah British, malahan kerajaan Siam juga tidak berani menyerang Terengganu di bawah pemerintahan baginda.

Di Kelantan pula Sultan Mansur (1890-1900) adalah merupakan raja yang amat disanjungi rakyat kerana sifat zuhud dan soleh baginda. Baginda sentiasa mendampingi ulamak dan bagindalah yang memerintahkan supaya wanita-wanita di Kelantan menutup aurat apabila keluar rumah. 

Selangor mempunyai seorang raja yang warak dan amat disayangi rakyat iaitu Sultan Sulaiman Shah (1898-1938). Beliau sangat mencintai ulamak dan berusaha keras memajukan negeri Selangor serta membangunkan agama Islam dengan membina masjid-masjid terkenal serta pusat-pusat pengajian Islam di Selangor. Sultan Sulaiman menulis puisi-puisi agama yang memberi kesedaran kepada rakyat supaya rajin menuntut ilmu untuk kemajuan dunia dan akhirat, menyeru supaya rakyat melaksanakan perintah agama serta menyangi kedua ibu bapa. 

Perak juga mempunyai Sultan yang mempamirkan ciri-ciri seorang pemimpin Islam yang mulia iaitu Sultan Iskandar Shah (1918-1938). Selain menjadi seorang mukmin yang sejati, baginda juga amat mengambil berat terhadap kesejahteraan rakyat. Di antara jasa-jasa baginda ialah memperluaskan Rizab Simpanan Melayu (bukan menjual seperti rejim UMNO sekarang), melaksanakan rancangan perairan Sg Manik dan Kenas serta menjalankan kempen tanaman padi, mengadakan pasar minggu supaya petani dapat menjual hasil tanaman dan menubuhkan Tabung Bantuan Petani hasil dari potongan gaji dan elaun baginda sendiri.

Jika di Malaysia ini ada sultan, PM atau Presiden PAS yang memiliki sifat-sifat Sultan-Sultan yang saya sebutkan di atas, jangankan pindaan hudud kecil seperti yang ingin di buat oleh Kelantan, suatu sistem pemerintahan Islam yang complete dan komprehensif pun boleh dilaksanakan.

********************

Terima kasih Tuan Hashimi The Jigit. Semoga cita-cita umat Islam di Malaysia yang inginkan sistem pemerintahan Islam itu tercapai dan dapat dilaksanakan suatu hari nanti. InsyaAllah.

2 comments:

  1. Saya setuju dgn Yong.. biarlah PAS teruskn usaha mendaulatkn perlaksanaan ke arah hudud secara perlahan2..
    Byk yg saya baca komen2 yg x menyukai TGHH.. tapi sy fikir x perlu sampai memaki hamun. Kerana ini mewajarkn tuduhan barua ke atas mereka2 yg suka memaki hamun.. Hidup TGHH.. benar sungguh telahan barua yg digunakn..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Wan Rosli

      Itulah yang sebaik2nya. Tetapi untuk meneruskannya PR kena menawan Putrajaya dahulu.

      Memang ada komen yang melampau. Komen dalam FB lagi teruk dari kedua pihak, sama ada yang meyokong atau menentang TGHH.

      Dalam blog ini komen melampau Yong delete jer. Tak kira dari kem mana.

      Delete

Komen mengkomer Yong tapis. Yong tak gemor kalau komer singgah dan melalut dengan bahasa mencarut atau bersifat racist. Yong takkan terbitkan. Komen yang ada link iklan akan masuk dalam spam. Tak kira dari penyokong mana-mana parti. Tak puashati? Ini hak tuantanah - untuk terbit atau tidak terbitkan komen mengkomer.