Pages

Friday, 7 April 2017

RAFIZI JAWAB TAKIYUDDIN - APA KAITAN 1MDB DAN RUU355?

Berikut jawapan Rafizi terhadap penafian Takiyuddin mengenai isu dana 1MDB. Yong kongsi jer.

Kenyataan Media
RAFIZI RAMLI, AHLI PARLIMEN PANDAN

7 APRIL 2017

SPRM SUDAH ADA KERTAS SIASATAN PEMINDAHAN WANG DARI AKAUN PERIBADI DATO’ SERI NAJIB

Saya sedia maklum jawapan rasmi Setiausaha Agung PAS, YB Datuk Takiyuddin Hassan kepada kenyataan saya mengenai dana berkaitan 1MDB yang dipindahkan dan sampai kepada seorang tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS sekarang. Beliau menyeru supaya saya menyerahkan bukti yang saya ada kepada SPRM supaya SPRM boleh segera menyiasat.

Saya ingin memaklumkan kepada rakyat bahawa SPRM sudah pun menyiasat aliran dana dari akaun-akaun yang disiasat berhubung dana 1MDB yang dipindahkan ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak. Dari siasatan itu, satu aliran dikesan sampai kepada tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS itu.

Oleh itu, tidak timbul soal segera menyerahkan bukti kepada SPRM seperti yang dinyatakan oleh Datuk Takiyuddin itu. Namun, saya akan mendedahkan nama tokoh tersebut dalam masa beberapa minggu ini dan selepas itu, saya akan membuat laporan SPRM supaya SPRM dapat merujuk kembali kepada kertas siasatannya sendiri.

Setelah saya menamakan tokoh tersebut, ia akan menjadi ujian besar kepada UMNO dan PAS seperti berikut:

1. Pimpinan UMNO akan bergelut sekali lagi dengan isu campur tangan dalam pentadbiran keadilan negara sekiranya Peguam Negara sekali lagi menutup kes walaupun kertas siasatan telah selesai dan bukti telah dikumpul oleh SPRM;

2. Pimpinan PAS di segenap peringkat perlu menyemak sama ada mereka pernah sekali-kali menerima bantuan kewangan, derma, infaq atau dana (dalam apa jua bentuk dan bagi apa jua tujuan) dari tokoh yang saya namakan itu kerana ada kemungkinan besar ia dana dari wang rakyat yang dibelanjakan melalui 1MDB. Sebagai sebuah parti yang mengaku mengangkat Islam, setiap pemimpin PAS perlu lebih teliti dari semua parti lain mengenai asal usul sumber kewangan mereka untuk mengelakkan sumber yang disifatkan syubhah (diragui).

Saya pada mulanya tidak berniat untuk membawa isu ini tetapi episod di Parlimen semalam mengesahkan bagaimana isu penambahbaikan mahkamah syariah telah dimainkan lebih dari setahun demi memberi ruang bernafas kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Setelah ditangguhkan 3 kali, jelas bahawa isu yang dibawa oleh PAS melalui rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta 355 (RUU355) akan terus dijadikan umpan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak. Sementara saya bersedia untuk berbahas sepenuhnya dan memberikan pandangan bagaimana cara terbaik menambahbaik mahkamah syariah, persetujuan di luar dewan di antara Dato’ Seri Najib dan PAS (seperti yang disahkan oleh Dato’ Seri S Subramaniam, presiden MIC bahawa keputusan itu telah dipersetujui lebih awal di Majlis Tertinggi Barisan Nasional) menunjukkan Dato’ Seri Najib tidak berniat pun untuk menambahbaik mahkamah syariah.

Isu RUU355 telah dijadikan umpan untuk memastikan PAS kekal berkecuali sebagai blok ketiga dan tidak bersuara dalam isu-isu penting seperti 1MDB. Jika Parlimen bersidang untuk Belanjawan 2018 dalam bulan Oktober, saya yakin PAS sekali lagi akan berkecuali semasa pengundian belanjawan kerana bimbang akan menjejaskan persefahamannya dengan Dato’ Seri Najib yang berkisar mengenai RUU355.

Oleh itu, selagi polemik isu RUU355 ini tidak diselesaikan, selagi itulah kelebihan berada di tangan Dato’ Seri Najib untuk bermuslihat politik dari semasa ke semasa dengan menggunakan PAS.

Setelah saya bersangka baik lebih setahun dan berharap agar RUU355 ini dapat dibahaskan sama seperti semua rang undang-undang yang lain, saya yakin segala yang berlaku di Parlimen, bila diambil kira pula soal dana 1MDB yang mengalir ke tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS, mewajarkan saya memutuskan bahawa PAS akan terus “dipegang” Dato’ Seri Najib selagi isu RUU355 ini dibenarkan berpanjangan.

Oleh sebab itulah, saya berpandangan adalah menjadi tanggungjawab saya berdepan terus dengan PAS dan UMNO sekaligus mengenai kedua-dua isu ini supaya rakyat boleh kembali kepada isu yang paling penting iaitu kebajikan rakyat yang terlalu terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barang, peluang pekerjaan yang sempit dan gaji yang berkurangan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN



Yong tiada nak komen apa-apa. Cuma kenyataan Rafizi ini buat Yong semakin hairan, kenapa tiada ahli parlimen PAS yang bantah apabila Speaker tangguh perbahasan usul meminda Akta 355? 

Takkan sama-sama setuju?


Yong tunggu jer mana-mana "ulama" PAS yang akan cakap nak tanam Pandikar di jirat atau crematorium.

5 comments:

  1. Salam

    Sedang menunggu saman SR dan Husam ,bila agaknya?nak saman Rafizi??

    islam sudah menjadi barang dagangan.

    sekian.

    ReplyDelete
  2. Betul ke cara Islam yg diamalkan oleh PH sekarang? Orang yg menuduh TIDAK perlu mengemukakan bukti sebaliknya org yg dituduh pula perlu menyaman org yg menuduh!

    Kalau beginilah cara islamnya memang patut PAS tidak masuk PH!

    ReplyDelete
  3. Tuduhan di luar mahkamah tak perlu bukti.PH pasti akan memberi bukti apabila diperlukan,..Pas saman lah dulu.

    ReplyDelete
  4. Kalau tak join PH pun janganlah termakan umpan UMNO

    ReplyDelete

Komen mengkomer Yong tapis. Yong tak gemor kalau komer singgah dan melalut dengan bahasa mencarut atau bersifat racist. Yong takkan terbitkan. Komen yang ada link iklan akan masuk dalam spam. Tak kira dari penyokong mana-mana parti. Tak puashati? Ini hak tuantanah - untuk terbit atau tidak terbitkan komen mengkomer.