Di sini komer kena lihat dengan hati. Baca dengan otak. Baca sampai habis. Dalam hati ada perasaan. Dalam otak ada akal. Kalau tidak komer tak faham.

MAAF

Semua blog yang ada iklan tersembunyi, iklan jual produk untuk tujuan seks, dan iklan yang menempel di tengah halaman (sama ada menutup teks atau tidak) akan dikeluarkan.

Thursday, 13 February 2014

POLITIK TINGGI SUBKY LATIF MENGELAK BERBALAH DENGAN ANWAR

Biasanya Yong tak ambik tulisan blogger lain bulat-bulat untuk dimuatnaik ke blog Yong. Not my style. Tapi kali ini Yong teruja dengan tulisan Subky Latif. Tulisan ini lengkap kerana ada maklumat, ada perasaan, ada sindiran dan ada pengajaran.  

Dalam bahasa Inggerisnya: Information, feeling, sarcasm and lesson learned.

Yong ingin simpan ia buat pengajaran untuk diri sendiri.

(Komen seterusnya di bawah)


MENGAPA SAYA ELAK BERBALAH DENGAN ANWAR?

Sekarang Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah ditetapkan sebagai calon Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil DUN Kajang.

Saya tidak mahu jadi macam setengah suku sakat saya – dari budak hingga ulama - mentakwil muslihat wujudnya PRK di Kajang itu. Mengapa ADUN-nya meletak jawatan dan gantinya pula Anwar? Lalu ada yang kata tidak akan beri kerjasama pada PRK itu dan macam-macam yang menyerabutkan otak termasuk menyindir politik tinggi Anwar.

Tiba-tiba Mohamad Sabu dan Salahuddin Ayub berkata, kita akan beri kerjasama sepenuhnya pada PRK itu dan mahu tengok kemenangan besarnya.

Apa jadi pada takwil tadi? Apa orang pandang pada politik yang tidak licin dan tidak diurus dengan baik itu? Tidakkah ia menyusahkan diri bagi menghadapi politik besar yang menjanjikan masa depan yang cerah itu? 

Itulah saya dari dulu tidak mahu berbalah dengan Anwar. Sebab tidak mahu susah untuk bersama dalam politik besar yang dia pemain pentingnya.

Ketika saya memulakan politik yang aktif, saya dibayangkan kemungkinan Anwar akan menjadi pemimpin PAS bagi menggantikan Datuk Asri. Maka saya mengelak dari sebarang masalah dengannya, kerana payah nanti kalau benar dia jadi ketua parti saya. Tidak selesa berjuang jika berbalah dengan pemimpin sendiri.

Apabila dia jadi Umno, tidak ada apa-apa masalah saya untuk berbalah dengannya. Saya tidak teragak-agak untuk mentakwilnya.

Kita perlu berbalah dengannya ketika itu kerana Umno adalah parti yang menyusahkan rakyat, negara dan kerajaan. Penyertaannya di situ menyusahkan semua, menghalang mendaulatkan Islam dan tidak salah berlawan dengan sesiapa saja memberi nafas kepada Umno.

Lepas itu secara teknikal dia tidak lagi menjadi sebahagian dari Umno. Tetapi dia ialah panglima dan pahlawan. Dengan politik tingginya, dia sudah menjadi kawan. Walaupun kita tidak boleh dapat semua yang kita mahu daripadanya, tapi kita dapat sebahagian dari yang kita mahu.

Kalau boleh kita mahu dia menjadi sebahagian dari kita, tetapi belum tiba masanya. Kalau kita dapat dia jadi sebahagian dari kita, maka ia adalah satu anugerah yang amat berharga. Kalau dia dari mula menjadi sebahagian dari kita, maka tidak mustahil banyak dari yang diperjuangkan itu sudah selesai.

Orang kata keutamaan beliau ialah untuk jadi Perdana Menteri. Adakah itu betul? Pada saya Perdana Menteri itu bukan matlamat. Matlamat sebenar kita adalah bagi mencapai mardatillah (keredaan Allah). Negara keredaan Allah mudah dicapai kalau kita jadi Perdana Menteri. Menjadi Perdana Menteri memudahkan matlamat itu.

Maka dengan perjuangan yang bersih, semasa dia belum cacat dulu, kiranya Perdana Menteri itu sasarannya, maka tidak mustahil Perdana Menteri itu sudah lama tercapai jika dia mulanya bersama kita. Yang kita tidak boleh capai kejayaan itu dulu kerana kita dapat kerjasama masyarakat bukan Melayu. Jika kita orang politik tinggi dan bersih, tidaklah payah untuk mendapatkan kerjasama semua kaum.

Kalau dengan politik sederhana kita itu sudah mulai disambut oleh semua, tentulah dengan otak poliltik tinggi Anwar itu, banyak yang dapat dibuat bagi mendapatkan sokongan semua.

Tetapi kerana jalan lain yang dipilihnya, kita pun lambat berjaya, dia pun lambat jadi Perdana Menteri. Apabila dia sudah lebih kuat dari kita menentang Umno, maka dia sudah boleh bersama kita walaupun tidak sekelambu dengan kita. Kita boleh tidur tanpa kelambu dengannya.

Dengan politik tingginya, walaupun dia tidak menjadi pemimpin parti kita, tetapi dia boleh orang paling penting dalam kumpulan kita. Dia tidak menjadi pemimpin PAS dan tidak juga DAP. Tapi dia sudah jadi Ketua Pembangkang.

Adanya dia bersama kita menyebabkan buat pertama kali tembok perkasa Putrajaya itu gegar. Selama 50 tahun kita merdeka, kita jadi macam kancil melawan gajah. Tetapi selepas dia tamat pengalaman di Sungai Buloh, kalau pun kita tidak jadi gajah untuk menggempur Putrajaya, kita sudah macam badak sumbu yang boleh menyondol gajah.

Dengan dia bersama kita atau kita bersama dia, BN tiada kekebalan 2/3 lagi. Bukankah dalam masa tujuh lapan tahun ini BN sudah tidak mustahil direhatkan.

Pada saya masa ini, kalau Anwar tidak mahukan kita dan DAP pun tak mahukan kita, saya kata tetap mahukan DAP dan mahukan Anwar. Kalau Anwar dan DAP tidak mahu datang kepada kita, kita akan pergi kepada Anwar dan DAP. Tiada ruginya ular menyusur akar.

Melihat kepada kemungkinan dan semua potensi itu, saya mengelak seboleh-boleh berbalah dengan Anwar. Sama ada saya suka atau tidak suka kepadanya, dia sudah jadi orang penting dalam Pakatan Rakyat.

Bila dia sudah jadi orang penting, tidak dapat dielak dia sudah jadi salah seorang ketua dalam kumpulan kita. Saya sebagai orang bawah tidak lagi dapat menolak dari berketuakan dia disamping ketua-ketua yang lain.

Kalau saya mahu berperanan dalam perjuangan, maka kita mesti sentiasa selesa dengan sekalian para ketua. Kalau saya tidak boleh disiplinkan diri saya, pilhan saya adalah bersara dari berjuang. Ia bukan pilihan bagi orang yang berjuang dalam Islam yang tiada had usia bersara.

Jika Anwar jadi orang paling penting dalam Pakatan Rakyat, apakah jadi begitu kerana kebetulan? Adakah Pakatan Rakyat terjadi secara "kun faya kun"? Jadilah maka ia pun jadi.

Ia tidak terjadi begitu, bahkan ia terjadi kerana diusahakan. Semua orang mahu adanya muafakat, tetapi muafakat itu terjadi kerana yang mengusahakannya. Boleh dikatakan politik tinggi Anwarlah yang mengambil langkah mengajak menjadikannya. Sebelum ini ia sekadar diseru, tetapi tiada yang berjaya mengadakannya.

Tidaklah apa yang dianjurkan itu terjadi jika tidak disertai orang lain. Tetapi orang lain tidak dapat buat sebelum ini. Pernah ia dicuba oleh Tengku Razaleigh. Tetapi Ku Li tidak dapat satukan semua. Akhirnya tidak jadi apa-apa.

Kita jangan marahkan orang lain kalau kita tidak jadi ketuai Pakatan Rakyat, kerana langkah yang diambilnya menjadikan ia ada dan ia jadi. Kalau kita hendak rungkai pula mungkin boleh, tetapi belum ada yang disepakati boleh menggantikannya. Kita kena terima waqi' (realiti) kiranya kita bersungguh untuk menggantikan BN.

Jika ADUN Kajang itu meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar, itu kecerdikan Anwarlah. Datuk Harun Idris juga pernah usahakan MP Ampang Jaya meletak jawatan bagi memberi laluan kepadanya bertanding dalam Pilihan Raya Kecil, tetapi dia kalah.

Jika saya tidak mahu berbalah dengan Anwar, ia adalah saya mahu berkongsi hasil kejayaan politik tingginya dan saya boleh bersama-sama semua orang. Kalau saya berbalah dengannya, kejayaannya tidak dapat dihalang, macam mana saya hendak bersama semua orang.

Lagi pun supaya orang tidak melihat saya tak tahu politik langsung. Mungkin kita tidak dapat jadi pemain politik tinggi, tetapi jangan tunjukkan kita tak tahu politik.

KOMEN:

Subky Latif memuji politik tinggi Anwar Ibrahim. Yong memuji politik tinggi Subky Latif.

Kedua-duanya memiliki politik yang tinggi.

Sudah tentu pemikiran Subky Latif jauh lebih superior berbanding dengan budak-budak yang baru beberapa tahun main politik. Superior kerana perjalanan politiknya yang lebih panjang dan berliku-liku. Superior kerana pemikiran yang terbuka dan relevan.

Sudah tentu tidak adil untuk membandingkannya dengan pemikiran budak-budak.

Budak-budak yang ada usia muda tapi pemikiran jumud dan tertutup. Kalau sudah tua bagaimana agaknya?

Kita boleh maafkan budak-budak itu kerana mengamalkan politik rendah yang tidak matang. Itupun kalau budak-budak itu bertindak ikut pemikiran sendiri yang setimpal dengan usia yang muda. Tapi bagaimana kalau ada dalang di belakang yang mengarah budak-budak itu?

STRATEGI KAJANG MEMANG MENGGERUNKAN.

12 comments:

  1. Salam Yong,

    Tu yang saya heran....orang-orang lama dan golongan veteran boleh pula "adapt" kepada perubahan serta sanggup bertolak ansur bagi menjayakan matlamat jangka panjang. Budak-budak muda pula yang degil dan melawan urus. Tak nak dengo cakap orang tua sengaja nak kene lempang la kut.....bukan apa, saja merasakan diri mereka hebat. Orang meluat mereka tak sedo!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Asrul Sani

      Masalahnya ialah ego. Bila ego amat besar dan memandang rendah kepada orang lain, serta ingat diri paling baguuus, maka mulutpun meloncor laju...

      Bila Yong sebut mulut, bukan literally mulut, tapi termasuk juga keyboard komputer.

      Delete
  2. Salam Yong, mmg tulisan Subki ni hebat dan menusuk tepat sasarannya.stetmen akhir tu - Mungkin kita tidak dapat jadi pemain politik tinggi, tetapi jangan tunjukkan kita tak tahu politik. adalah umpama the last nail for the coffin!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam alhusseyn

      Yong terasa diri amat kerdil bila membaca tulisan Subky Latif.

      Delete
  3. Salam
    Ana cadang pas ambil tindKan disiplin thdap suhaizan kayak dan gantung 6bulan sbb mulut celuparnya.
    Takbiir

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Malaysiabaru

      Suhaizan mungkin tertekan... Patutnya seluruh AJK Pemuda PAS itu disekolahkan semuala.. Panggil Mat Sabu dan Naib2 Presiden supaya sekolahkan demer tu...Put them in their place. Talk less, more work.

      Delete
  4. Tulisan dan nasihat yang datangnya dari Subki ni membuat saya berfikiran adakah kita ini senang dibodohkan oleh UMNO-BN tetapi masih memberi sokongan. Kita tahu kerana parti UMNO tidak sama perjuangannya dengan yang lampau. Pemimpin bukannya parti adalah tidak jujur berjuang demi membantu rakyat, mereka hanya nak mengkayakan diri. Kita boleh nilai dan rungkai kemewahan yang mereka dapat. Hampir semua pemimpin UMNO-BN bergelombang dengan rasuah dan salah guna kuasa. Ini dibantu oleh tidak kecekapan orang yang sepatutnya menjaga kehakiman. Mereka ini semua pengecut tidak dapat menegakkan keadilan hanya jagi periok nasi yang pastinya bila mati kelak akan masuk keneraka. Tenguk saja dinegara-negara luar pemimpin mereka tidak kebal undang-undang. Dimalaysia, hanya pihak parti lawan tertakluk dengan undang-undang dan disabit dengan hukuman yang tak betul. Semua fitnah belaka itulah perjuangan UMNO-BN, bukan membantu rakyat. Dengan adanya nasihat Subki ini, marilah bersatu dan dapatkan kuasa mengikut perlembagan. Sokonlah perjuanga rakan-rakan dan jangan menimbulkan kecoh yang tak mendatangkan feadah. Apa apa masalah jangan biarkan musuh tahu dan boleh diselsaikan secara perudingan dalam pakatan. Musuh sebenar adalah UMNO-BN, jadi jangan ikut perasaan kerana mungkin kita silap. Jangan berfikiran dan menjadi macam macai-macai serupa UMNO-BN kerana mereka tak tahu dosa pahala dalam hidup ini. Syabas kakanda Subki kerana menyedarkan rakan-rakan pakan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Nudin Bakar

      Sangat setuju.

      Orang tua memang patut nasihat orang muda. Bukan jadi dalang buat huru-hara. Perjuangan masih jauh.

      Pesanan TGNA: PKR jangan tamak, PAS jangan kedekut.

      Delete
  5. depa tak pernah blajar dari putar belit umno yg menjahanamkan pas dulu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam opisboi

      Setengah budak2 tu tak lahir lagi masa tu...sebab tu tak sedor diri.

      Delete
  6. Salam Malaysiabaru.
    Cadangan anta itu di lihat munasabah. Bukan kah di dalam satu organisasi ada ketua yang tertinggi di panggil president. Sepatut nya ketua ketua yang "MENEMPEL" jangan lah mendahului president dalam memberikan apa apa komen. Ia nya telah pun berlaku dari puak puak yang belum memehami "REAL-POLITIC" tetapi sudah memandai memandai mengeluarkan kenyatan. Akhir nya kenyataan yang "HAPRAK" itu bila di over-rule oleh president ternyata akan "KEBODOHAN" mereka yang mengeluarkan kenyatan. Kenyataan itu juga akan di spin oleh pehak musuh. Selayak nya lain kali jangan terujua dengan microphone yang di hulurkan oleh para pemberita yang kebanyakan nya di lihat saperti kesinambungan "LIDAH- SYAITAN". Rujuk dulu kepada yang berotoriti baru lah di keluarkan kenyataan yang sudah di sepakati

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Saadun

      Yong tak salahkan budak2 tu 100%.

      Apabila Presiden suka diam sampai semua orang huru-hara bercakap baru dia buka mulut, maka berlakulah keadaan ini.

      Sebenarnya mudah saja. Kan Mat Sabu dan Salahuddin ada masa buat press statement tu? Lim Kit Siang pun ada. Tapi Presiden PAS tiada. Pelikkan?

      Delete

Komen mengkomer Yong tapis. Yong tak gemor kalau komer singgah dan melalut dengan bahasa mencarut atau bersifat racist. Yong takkan terbitkan. Komen yang ada link iklan akan masuk dalam spam. Tak kira dari penyokong mana-mana parti. Tak puashati? Ini hak tuantanah - untuk terbit atau tidak terbitkan komen mengkomer.