Di sini komer kena lihat dengan hati. Baca dengan otak. Baca sampai habis. Dalam hati ada perasaan. Dalam otak ada akal. Kalau tidak komer tak faham.

MAAF

Semua blog yang ada iklan tersembunyi, iklan jual produk untuk tujuan seks, dan iklan yang menempel di tengah halaman (sama ada menutup teks atau tidak) akan dikeluarkan.

Thursday, 29 December 2011

ZAHID HAMIDI PERDANA MENTERI MALAYSIA KE LAPAN? PART 1

Zahid tiada skandal dengan perempuan
Hassan Ali terus tikam PAS dengan keris karatnya. Chegubard dianiaya oleh ahli partinya sendiri. Dua-dua parti asyik caca-marba dan makhluk perosak pula tidak ditangani. Pilihanraya semakin hampir, tapi perangai demer tak berubah. Mungkin ada yang menjadi lebih teruk. Bagaimana teruknya? Teruk berebut untuk menjadi calon. Musuh PR pula terang-terang menyusun strategi dan membina kekuatan. 
Hari ini Yong taknak layan Hassan Ali. Yong tulis tentang seorang yang disegani oleh ramai pemegang kad ahli PKR tapi beliau berada di seberang sana. Yong terpanggil untuk menulis kerana pentas politik tempat aktor politik ini bertarung dekat di hati Yong. Aktor politik itu ialah seorang politikus enigma bernama Zahid Hamidi. Yong bukan penyokong Zahid Zamidi ye. Tetapi Yong tetap mengakui Zahid memiliki kekuatan tersendiri yang sukar digugat oleh Pakatan Rakyat.

Demi keselesaan membaca bagi tetamu bukan orang Perak, Yong guna Bahasa standard. Setuju atau tak setuju dengan pandangan Yong itu hak komer. Ini pemikiran sekupang Yong. Kata omputih, "My ten pence thought."
  1. Zahid anak tempatan yang jadi kebanggaan orang tua-tua Bagan Datoh. Kedudukannya sebagai menteri yang jaga pertahanan negara menjadikannya amat dihormati di Bagan Datoh. Menteri pertahanan akan jadi Perdana Menteri. Itu impian warga Bagan Datoh yang mahu seorang anak tempatan menjadi Perdana Menteri Malaysia. Kalau Zahid jatuh, maka jatuhlah impian warga Bagan Datoh. Calon2 dari PR yang akan menentang Zahid tiada karisma sepertinya. Kedudukan calon2 itu dalam PR juga amat jauh dalam hierarki parti mereka. Tak mungkin calon itu kalau menangpun akan jadi Menteri Pertahanan kerajaan PR, walaupun telah jadi “giant killer.”
  2. Zahid mendapat sokongan kedua suku kaum (Melayu dan Jawa) di Bagan Datoh. Sukar untuk menukar ketaatan Jawa totok Bagan Datoh yang sayangkan Zahid, dan Jawa Beret (kacukan Jawa dan Melayu) serta Melayu yang menjadi saudara maranya. Macam mana jawa Selangor sayang Khir Toyo, macam itulah jawa Bagan Datoh sayang Zahid. Misbahul Munir, anak Jawa Sungai Tiang Darat tak mungkin dapat menyaingi Zahid Hamidi kerana dalam kampung itupun ramai pengikut setia umno. Yong tak kenal Madzi Hassan (PKR) jadi Yong tak nak tulis pasal dia.
  3. Zahid sangat visible di Bagan Datoh. Di majlis kenduri kahwin dia ada. Majlis hari raya dia ada. Majlis berkhatan dia ada. Tak banyak sedikit Zahid akan hulur fulus. Ini tak termasuk majlis rasmi. Public relation Zahid amat baik, kata orang kampung. Mereka kata tiada langit yang tidak pernah mendung, tiada bumi yang tidak pernah ditimpa hujan. Zahid mungkin ada masalah peribadi (kes dengan Amir Badzi). Tapi bagi penyokongnya potensi Zahid sebagai Perdana Menteri Malaysia jauh lebih menyerlah berbanding dengan masalah peribadinya.
  4. Zahid amat berhati-hati dalam berpolitik (musuhnya kata politik lalang). Bukan jadi rahsia lagi Najib dianggap lemah kerana membiarkan isterinya diselubungi kontroversi demi kontroversi. Walau bagaimana pun demi politik masa depannya Zahid menonjolkan diri seperti setia pada Najib. Sekali sekala dia kelihatan seperti pak turut dan membelasah pembangkang, tetapi sebenarnya Zahid sedang menunggu kejatuhan Najib.
  5. Ramai orang tahu semasa DSAI masih dalam UMNO, Zahid dikenali sebagai orang Anwar. Bagaimana Zahid boleh berada di persadanya sekarang kalau bukan kerana DSAI? Malahan Zahid pernah ditahan semasa awal reformasi. Kemudian Zahid buat u-turn dan berdiri di barisan Tun Mahathir. Sementara itu DSAI disumbat dalam penjara. Inilah politik berhati-hati Zahid. 
  6. Ketika tsunami politik melanda, pada pilihanraya 2008, Zahid mendapat 16,928 undi mengalahkan Madzi Hasan yang meraih 10,423 undi dengan kelebihan 6505 undi. Inilah prestasi terbaik PKR sejak 1999 (Masa tu masih keadilan). Tetapi, adakah momentum untuk menjatuhkan UMNO itu masih wujud dan semakin meningkat di Bagan Datoh? Jika PKR tidak menguatkan jentera “grassroot”nya dan masih bergantung kepada jentera PAS; mengalahkan Zahid ibarat mimpi di siang hari.
  7. Tidak mungkin Zahid boleh dikalahkan dengan cuba menonjolkan keburukannya. Isteri Zahid juga sentiasa "low profile" dan sopan dalam penampilan. Satu sifat yang mengalihkan pandangan buruk orang kampung terhadap UMNO. Seorang pakcik yang telah meninggalkan UMNO dan memasuki PAS pernah berkata dengan sedih, “Zahid ni macam budak baik yang terjerumus...” Apakah yang tersirat di sebalik kata-kata itu? Maknanya orang Bagan Datoh tetap akan menyayangi Zahid, walaupun dia nakal.
  8. Cubaan PKR untuk memburukkan Zahid cuma suam-suam kuku berbanding dengan cubaan memburukkan Najib dan Sharizat. Soal menunaikan Haji dengan menaiki jet peribadi tidak akan membawa apa-apa makna kepada pakcik dan makcik di Bagan Datoh. Begitu juga pendedahan isu pembeliaan kelengkapan pertahanan. Ini kerana umum mengetahui kuasa yang menurunkan “cap jari” untuk meluluskan peruntukan di tangan Menteri Kewangan, iaitu Perdana Menteri. Adakah Zahid akan kata hitam jika PM sudah kata putih?  Zahid tidak akan membantah keputusan Najib. Kuasa PM yang luas ini menjadi alibi kepada Zahid dari tuduhan salahguna kuasa yang cuba dibangkitkan oleh PKR. 
  9. Image PKR terjejas teruk dengan karenah 3 ekor katak Perak. Walaupun telah lama berlalu, di belakang PKR, inilah yang diperkatakan di kedai kopi. Tiada bezanya dengan pengundi Bagan Datoh. Buat apa undi PKR kalau menang nanti dia akan lari ke UMNO? Baik pilih Zahid. Sekurang-kurangnya dia sudah berada di Putrajaya.
  10. Sebagai wakil rakyat, Zahid sudah menabur banyak gula2 pilihanraya melalui program pembangunan, mesra rakyat dan macam-macam jenama lain. Zahid berusaha menfaatkan kedudukannya sebagai Menteri Pertahanan supaya terus menjadi kebanggaan pengundi di Bagan Datoh. Bagi penduduk kampung yang penting ialah infrastruktur yang baik. Zahid menonjolkan diri supaya pengundi Bagan Datoh berfikir hanya UMNO yang dapat memberikan kemudahan itu. Mereka sentiasa dihidangkan dengan propaganda "kekaguman" terhadap prestasi anak Bagan Datoh ini. 
Walau bagaimanapun bukan semua orang UMNO suka Zahid. Ada satu blog yang menyerang Zahid secara peribadi. Ia beralamat http://anti-zahid.blogspot.com/. Kini blog itu sudah tidak diupdate sejak Disember 2010. Emailpun sudah ditamatkan. Walau bagaimanapun, pada hari ini 26 Disember 2011, ia masih hidup macam hantu raya. Sementara belum ditutup, pergilah jenguk apa isi blog tersebut. 

DAP dan PAS mendakwa telah mendekati kaum Cina dan India Bagan Datoh. Adakah PKR juga berbuat demikian? Berapa ramaikah kaum Cina dan India Bagan Datoh sudah menjadi ahli PKR? Kaum Cina dan India adalah golongan minoriti di Bagan Datoh, tetapi undi mereka tetap kritikal sebagai penentu kemenangan dan kekalahan seseorang calon. Walau bagaimanapun, kalau pengundi Melayu Bagan Datoh gagal diyakinkan, bagaimana nak menarik pengundi bukan Melayu?

Yong difahamkan calon PKR akan diturunkan sekali lagi. Tetapi adakah PKR benar-benar mahu mengalahkan Zahid? Jika jawapannya “ya” adakah ia sudah melakukan yang terbaik untuk memujuk 30% pengundi berdaftar yang tidak turun mengundi pada PRU12 supaya membuang undi dan seterusnya memilih calon PKR yang bertanding? Adakah punca kenapa mereka tidak turun mengundi sudah dirungkai dan diatasi? 

Jika PKR masih tercari-cari formula untuk menjatuhkan Zahid Hamidi sedangkan PRU13 akan tiba bila-bila masa sahaja, baik ucap selamat tinggal Bagan Datoh. 

DALAM SETIAP KEKUATAN ITU ADA KELEMAHAN - INSAF DAN BERADABLAH. 
DALAM SETIAP KELEMAHAN PULA ADA KEKUATAN - SABAR DAN BERUSAHALAH.

2 comments:

  1. "Ya Allah…berikanlah ilham kepadanya agar dia mampu terus berkarya Agar dia terus mampu memberikan sedikit ikhtibar dan dakwah dengan caranya. Hulurkan kepadanya bijaksana agar ia mampu terus memacu kalam keinsanan. Selamat Hari Lahir !

    ReplyDelete

Komen mengkomer Yong tapis. Yong tak gemor kalau komer singgah dan melalut dengan bahasa mencarut atau bersifat racist. Yong takkan terbitkan. Komen yang ada link iklan akan masuk dalam spam. Tak kira dari penyokong mana-mana parti. Tak puashati? Ini hak tuantanah - untuk terbit atau tidak terbitkan komen mengkomer.