Di sini komer kena lihat dengan hati. Baca dengan otak. Baca sampai habis. Dalam hati ada perasaan. Dalam otak ada akal. Kalau tidak komer tak faham.

MAAF

Semua blog yang ada iklan tersembunyi, iklan jual produk untuk tujuan seks, dan iklan yang menempel di tengah halaman (sama ada menutup teks atau tidak) akan dikeluarkan.

Sunday 10 February 2013

N3 HUJUNG MINGGU: KISAH SANG KASANOVA - ISTERI DAN ANAK-ANAKKU MENANGGUNG BALASAN DOSA-DOSAKU

AWAS KASANOVA! GAMBAR HIASAN

Lelaki itu sudah berusia lebih setengah abad. Tubuhnya kurus. Tapi rambutnya walaupun sudah putih, masih banyak di kepala. Namanya Abdullah (bukan nama sebenar). Sudah lama Yong tak bertemu dengannya. Amat lama. 

“You look good.” Katanya. 

Kalau sudah kasanova, tetap mulut macam kasanova. 

“Not to be eaten.” Balas Yong, bergurau. 

“Hahahaha…” 

Semasa muda dia bertugas di bahagian anti-penyeludupan Malaysia. Mulanya dia membuat kerja dengan betul. Tetapi setelah melihat perbuatan pegawai atasannya yang nampak mewah, dia mula belajar bagaimana mendapatkan kemewahan tersebut. 

Barang yang dirampas, dari rokok, susu tin hinggalah ke jongkong emas. Ya, jongkong emas bernilai jutaan, kalau tidak billions ringgit. Mata Abdullah berpinar-pinar melihat kilauan emas itu! 

Nilai barangan yang dirampas lantas dimanipulasi. Bukan susah nak buat bila satu kumpulan sama-sama masyuk! 

“Bukan aku saja,” kata Abdullah, “bos akupun dapat. Sebab itu aku lepas” 

Kemana pergi hasil “cukai haram” rampasan barangan seludup itu? 

Abdullah menghabiskan “pendapatannya” melalui aktiviti judi, arak dan perempuan. Oleh kerana itu  Abdullah tidak boleh berhenti! Dia semakin tamak. 

Akhirnya Abdullah “diburu” oleh bosnya kerana makan seorang. Nasib dia baik kerana sempat melarikan diri keluar negara melalui Thailand. Di luar negara (Eropah) dia mendaftarkan diri di sebuah universiti dan menuntut dalam bidang kejuruteraan. Tujuan sebenar ialah untuk tinggal lebih lama di negara berkenaan sehingga “things cool down.” Di sana dia bertemu dengan seorang gadis Melayu yang baik hati. 

Dia berkahwin dengan Jamilah (bukan nama sebenar) walaupun keluarga si gadis tidak setuju disebabkan kedudukan kewangan Abdullah yang tidak menentu. Ketika itu dia bekerja sebagai tukang potong sayur di sebuah pasaraya di luar negara, bagi menampung kos pengajiannya. 

Setelah Jamilah menamatkan pengajian, mereka pulang ke tanah air kerana Jamilah harus bertugas di institusi yang membiayai pengajiannya. Abdullah tidak tamat pengajian. 

Abdullah dapat bekerja di sebuah syarikat minyak antarabangsa. Mungkin rezeki anak. Dari seorang anak, mereka dikurniakan 3 orang anak yang comel. 

Apabila telah memiliki sumber kewangan, Abdullah tidak dapat membuang penyakit lamanya - Judi, arak dan perempuan! 

Pada suatu hari, rumah yang mereka sama-sama beli didatangi orang-orang yang tidak dikenali. Mereka mendakwa rumah itu telah digadai oleh Abdullah yang kalah judi. Ketika itu anak sulung masih di tahun 3 sekolah rendah. 

Apabila ditanya oleh Jamilah, Abdullah mengaku salah dan meminta maaf. Tetapi Jamilah enggan dibebani hutang Abdullah. Dia senyap-senyap merancang. Dia mencari kerja lain dan terus berpindah tanpa memberitahu suaminya. Abdullah mengambil masa setahun untuk mengesan kedudukan isterinya. 

Kerana kasihan kepada anak-anak, Jamilah menerimanya kembali. Mereka berbaik semula. Bagaimana Abdullah menyelesaikan masalah hutangnya Jamilah tak ambil tahu. Beberapa tahun kemudian, hasil kehidupan yang baik ini mereka dikurniakan seorang anak lagi. 

Abdullah ingin memperbaiki kehidupannya. Katanya dia ingin melanjutkan pelajaran keluar negara. Isterinya yang baik hati memohon pinjaman untuk membiayai suaminya. 

Abdullah pun berangkat keluar negara. 

Di luar negara Abdullah berkenalan dengan seorang wanita bangsa asing. Abdullah tinggal bersama wanita itu! Dengar cerita mereka telah berkahwin di gereja! 

Kali ini Jamilah menuntut cerai kerana menganggap suaminya telah murtad. Jamilah juga dibebani hutang pinjaman untuk pembiayaan awal Abdullah. 

Lima tahun berlalu. Abdullah tiba-tiba muncul setelah bercerai dengan isteri mudanya. Alasannya dia sakit dan kos perubatan tidak mampu ditanggungnya di luar negara. Abdullah merayu untuk kembali kepada isterinya. 

Isteri yang baik hati menerimanya semula setelah berbaiah di hadapan hakim mahkamah syariah. 

Nampaknya Abdullah benar-benar telah insaf. 

Malangnya jalan kehidupan anak-anak mereka tiada yang lurus. 

Anak sulung belajar di luar negara selepas SPM. Tetapi dia tidak menamatkan pengajiannya. Dia enggan menerima nasihat ibu-bapanya, berkahwin dengan lelaki Arab syiah dan tinggal di luar negara. 

Anak kedua belajar di universiti tempatan. Dia bertemu dengan seorang Mamat Al-Arqam, yang sebenarnya masih bergerak, walaupun diharamkan pada tahun 1994. Dia terus berhenti belajar dan mengenepikan nasihat keluarganya. 

Anak ketiga (anak lelaki tunggal) kena tangkap basah ketika masih sekolah menengah dan dipaksa kahwin oleh keluarga si gadis. 

Kata Abdullah, “Aku sepatutnya bersama anak-anakku ketika mereka meningkat remaja. Agaknya inilah sebahagian balasan Allah kerana dosa-dosa aku.” 

Deraian ketawa membuat Abdullah berpaling ke arah beberapa orang Mamat yang berborak sambil merokok di luar cafĂ©. 

“Aku dah berhenti merokok.” Katanya, seolah-olah tahu apa yang sedang Yong fikirkan. 

Katanya setelah mereka berbaik semula, Jamilah jatuh sakit. Jamilah baru sahaja menjalani pembedahan usus, pundi kencing, hempedu dan hati. Dia tahu Jamilah memendam segala deritanya sendirian. Semuanya pasti amat menyakitkan. “Dia sering solat sunat tengah malam dan berdoa. Jamilah kata mungkin Allah panjangkan usianya kerana anak bungsu kami masih memerlukan kasih sayang seorang ibu.” 

Bagaimana dengan Abdullah? 

“Sekarang aku duduk rumah, tanam sayur, masak, basuh kain…Jadi house-husband.” Dia senyum pendik. 

Tut-tut! Ada mesej masuk. 

“Jamilah.” Katanya, “Dia kata, anak nak minta hantar ke sekolah. Ada KK.” 

Perbualan kami terhenti kerana dia membalas sms Jamilah. 

Tut-tut! Mesej lagi. 

“Jamilah kirim salam.” Katanya sambil bangun. 

“Waalaikum salam.” Jawab Yong 

Abdullah berjalan ke keretanya. Yong perhatikan langkah kakinya sedikit dengkot. Yong tahu dia sakit gaut. 

“Banyak-banyak bersabar Jamilah.” Kata hati Yong.

*************************

Apakah pengajaran yang didapati?
Pecah amanah adalah pencetus segala dosa yang mengekorinya.
Ingat yang tersayang!

6 comments:

  1. A'kum Yong

    Saya pencen awal adalah juga kerana tidak mahu terima gaji haram.
    Di akhir-akhir masa saya kerja, saya menjadi sedikit malas, patut rehat setengah jam, saya habiskan sejam. Tengahari patut masuk jam 2:00 petang, saya masuk jam 3:00.

    Oleh kerana kedudukan saya di pejabat tidak sape pun berani peduli. Jadi saya fikir lebih baik saya hantar surat minta pencen awal kerana saya di bayar gaji 8 jam sehari tetapi saya kerja hanya lebih kurang lima jam saja. Maknanya gaji saya yang lebih dari 5 jam itu adalah pendapatan haram.

    Untuk elak dosa dari pendapatan haram, saya ambil keputusan untuk pencen awal. Lagi pun saya memang bebas dari beban kewangan. Lebih baik saya bebaskan diri....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Moundweller

      Alhamdulillah.

      Tapi dunia ini isinya macam2 manusia. Harap yang selalu makan duit haram membaca N3 Yong kali ini faham apa yang tersirat.

      Allah beri banyak peluang dan petunjuk. Kalau kita tidak insaf tak tahule.

      Delete
  2. Salam Yong,

    Satu entry yang menarik...

    Sebab itu kita kena yakin Allah Maha adil...

    Kalau panjang umur kita akan nampak depan mata keadilan Allah, lepas satu satu akan terbukti...

    Yang berkenaan kalau taknak bertaubat lagi tak tahu la...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam pcbahar

      Selalunya yang tersayang menderita kerana perbuatan kita. Allah duga setiap manusia yang disayangiNya.

      Manusia yang diduga dengan kekayaan dan kekuasaan sering lupa.

      Delete
  3. Bermewah dgn jalan salah tak ke mana akhirnya !

    (Pada ajaran Islam, albeit, kes seludup barang mungkin tak salah sebab cuma tak bayar cukai TAPI aktiviti penyeludupan yg libat rasuah pasti libat kes peras-ugut, dominasi, manipulasi, eksplotasi. Poyo la ! )

    Some wrongs went unpunished ! NOT. Perbuatan buruk/ dosa kita tetap dibalas Allah kendian hari if not yet insaf, betobat ! Go back to "pangkal jalan" & go st8 way, lah! hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam hanz

      Alhamdulillah. Kali terakhir Yong bercakap dengan isteri kasanova ni, nampaknya dia dah insaf. Sebab dah tua dan sakit. Demer tengah cuba baiki balik hubungan dengan anak2 yang retak.

      Delete

Komen mengkomer Yong tapis. Yong tak gemor kalau komer singgah dan melalut dengan bahasa mencarut atau bersifat racist. Yong takkan terbitkan. Komen yang ada link iklan akan masuk dalam spam. Tak kira dari penyokong mana-mana parti. Tak puashati? Ini hak tuantanah - untuk terbit atau tidak terbitkan komen mengkomer.