Diam tak diam sudah masuk hari ke 21 dalam tahun 2015.
Hari ini Yong taknak puji ahli politik, atau kritik ahli politik. Ramai ahli politik, termasuk yang masih muda, kuat sembang saja. Tapi bukan anak muda ini. Hari ini Yong nak war-warkan usaha Izham Alias memberi motivasi, nasihat dan idea kepada warga bandar yang kurang tempat bercucuk tanam.
Yong paparkan keseluruhan rencana Harian Metro bagi yang tak dapat baca akhbar tersebut:
Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my
Ideanya membangunkan sebuah laman Facebook 'Jom Tanam Sendiri' mendapat sambutan di luar jangkaan.
Dalam tempoh sehari saja lebih 2,000 'like' diterima Mohamad Izham Mohd Alias, 26.
Puncanya selepas pelajar Sarjana Muda Sains Hortikultur Universiti Putra Malaysia (UPM) itu memuat naik sekeping gambar di laman berkenaan pada 2012.
Jika kebanyakan orang melihat batang pisang sebagai bahan tidak bernilai, tetapi berlainan sudut pandangan diketengahkan anak muda ini.
Dengan daya kreatif yang ada, batang pisang dijadikan medium tanaman menggantikan pasu.
Niat berkongsi tip bercucuk tanam di tahun akhir ketika itu mendapat reaksi positif kalangan pengguna maya.
Bagaimanapun, tidak semua maklumat dikongsikan dapat diakses banyak pihak.
Sebagai pengendali laman itu, dia saja yang boleh membaca dan membalas pertanyaan diajukan.
Menyedari akan kepentingan itu, Mohamad Izham yang sedang menyambung pengajian peringkat Sarjana Sains bersama rakan sekuliah membangunkan kumpulan sokongan Jom Tanam Sendiri.
Cadangan itu menjadi kenyataan selepas tertubuhÂnya rangkaian komuniti dikenali Kebun Bandar: Jom Tanam Sendiri (KBJTS) pada November 2013.
Mohamad Izham yang juga 'pakar' kesuburan tanah dan pemakanan tumbuhan tidak bersendirian, sebaliknya mengendalikan laman kumpulan Facebook itu bersama 10 rakan lain.
Tujuh daripada mereka adalah pelajar sarjana, iaitu Zuziyah Ahmad, Nur Halimah Saiful Anwar, Amirah Solehah Shokri dan Siti Nur Awanis Markam, masing-masing dalam bidang sains tanaman serta Abdul Halim Baharun Azahar (rumput turf dan lanskap), Fahmi Fesool (mikrobiologi tanah) dan Ezzah Emira Mohd Noor (agroteknologi).
Selebihnya rakan yang sudah bekerja membabitkan Abdul Munir Roslan (Sarjana Muda Sains Pertanian) serta Noor Shuhadah Fadzil dan Zuljamal Jamaluddin, kedua-duanya berkelulusan Sarjana Muda Sains Hortikultur.
Pujian harus diberikan kepada kumpulan ini apatah lagi menjadi produk kebanggaan UPM dalam membantu warga bandar bertani.
Bertempat di Blok C, Fakulti Pertanian UPM, Serdang, keinginan penulis untuk bertemu disambut baik pengurusan kumpulan Facebook berkenaan.
Berbekalkan dua komputer dan beberapa telefon bimbit, kumpulan itu saling berkongsi ilmu dipelajari kepada pengguna laman sosial.
Mereka mengumpul peminat yang suka berkebun sendiri sama ada di rumah teres, banglo ataupun pangsapuri.
Malah, kumpulan diwujudkan itu membuka ruang kepada setiap ahlinya untuk berkongsi pendapat, maklum balas, tip berkaitan hortikultur dan perkebunan yang tidak bermotifkan komersial.
Siapa sangka bilangan ahli komuniti mencakupi blog, Instagram, Twitter dan kumpulan Facebook menjangkau lebih 30,000 ahli dan meningkat setiap hari.
Bagi penulis, kumpulan dibangunkan ini layak digelar 'kaunselor pokok' berikutan keupayaan mereka membantu orang ramai berkebun.
Pengetahuan luas yang diperoleh melalui teori dan latihan amali di universiti diterjemahkan semula kepada komuniti maya.
Bagi mereka konsep pertanian bandar sangat membantu dari segi penjimatan kos dapur, selain makanan disediakan bebas racun untuk kegunaan keluarga bagi jangka panjang.
Antara buku rujukan luar negara dikongsikan seperti Square Metre Gardening dan Urban Gardening For Dummies.
Bahan ilmiah terbitan agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Pertanian juga menjadi sumber rujukan untuk dikongsi bersama ahli.
Mohamad Izham berkata, objektif penubuhan laman berkenaan bagi berkongsi tip dan teknik berkebun kepada ahli.
"Ia juga sebagai sistem sokongan kepada ahli lain, memberi motivasi dan membudayakan aktiviti berkebun dalam masyarakat terutama yang tinggal di bandar," katanya.
Masyarakat terutama orang bandar katanya, ramai minat berkebun, namun tidak tahu menguruskannya.
"Mereka tidak tahu bagaimana memulakan aktiviti berkenaan dan siapa ingin dirujuk sekiranya berdepan masalah.
"Kami menyediakan satu ruang kepada ahli untuk bertukar pandangan serta bersandarkan konsep komuniti untuk komuniti," katanya sambil mengakui bahawa ada antara tip dikongsikan ahli yang melawan teori pertanian.
Menurutnya, kesan positif ruang maya itu dapat dilihat apabila ramai yang berminat untuk menyertai bengkel.
Katanya, pihak pengendali juga menjemput pengamal pertanian organik seperti Noorazimah Taharim atau Mak Tam untuk berkongsi ilmu.
"Ada kalangan ahli mengadakan perjumpaan secara kecil-kecilan. Mereka bertemu, berkongsi mengenai pelbagai perkara.
"Malah, ada yang kongsi biji benih seperti ulam raja, bunga telang, cili dan baja mikro organisme lokal (MOL)," katanya.
Bagi menggalakkan amalan berkebun dalam kalangan ahli, pihaknya turut memperkenalkan konsep tukar pokok (sistem barter).
"Ia bagi menggalakkan orang ramai menanam pokok, sekali gus menjimatkan belanja dapur," katanya.
Mereka juga menyokong seruan Fakulti Pertanian UPM dan MOA mengenai pertanian bandar berkonsepkan pemberian ilmu.
Yong sendiri telah menjadi ahli grup ini dan mendapat berbagai-bagai idea dari rakan-rakan yang sama-sama menjadi ahli.
Anak muda seperti inilah yang kita mahu. Bukan yang merempit, menghisap dadah, bersuka ria, atau yang hanya mahu mendapat bantuan kerajaan.
SYABBAS IZHAM ALIAS. SYABBAS JUGA BUAT TEAM ADMIN FACEBOOK JOM TANAM SENDIRI.
Ini link facebook berkenaan:
JUMPA DI SANAAA!!!
No comments:
Post a Comment
Komen mengkomer Yong tapis. Yong tak gemor kalau komer singgah dan melalut dengan bahasa mencarut atau bersifat racist. Yong takkan terbitkan. Komen yang ada link iklan akan masuk dalam spam. Tak kira dari penyokong mana-mana parti. Tak puashati? Ini hak tuantanah - untuk terbit atau tidak terbitkan komen mengkomer.