Sering disebut PAS merupakan sebuah 'gerakan Islam' dan peranan gerakan Islam merangkumi aspek dakwah, tarbiah dan siasah. Itulah yang diterima sebagai takrif yang lengkap dan sempurna terhadap istilah 'gerakan Islam' bagi pimpinan dan ahli PAS. Oleh itu, PAS berbeza dengan badan NGO Islam yang lebih bersifat dakwah dan tarbiah semata-mata.
Sebagai 'gerakan Islam' PAS terlibat dalam persaingan dan pertarungan dengan pihak lain untuk mendapatkan kuasa politik. Kuasa politik diperlukan demi melaksanakan agenda Islam secara keseluruhannya.
■ PAS pentingkan kuasa pemerintahan
Pendokong Badan NGO Islam tidak mementingkan usaha untuk mendapatkan kuasa pemerintahan. Mereka hanya memikirkan persoalan pembinaan insan mengikut acuan Islam dan penyampaian risalah Islam tanpa mengambil kira sama da tindakan mereka akan mengukuhkan kedudukan politik mereka atau sebaliknya. Mereka berpuas hati untuk memainkan peranan sebagai 'jurubicara' ummah, berdasarkan prinsip Islam, sambil menegur pihak pemerintah, bila perlu, tanpa menyusun langkah untuk mengambil kuasa daripada pemerintah tersebut.
PAS, sebagai sebuah 'gerakan Islam' membuat keputusan secara sedar dan sengaja untuk menyertai proses politik negara. Itulah sebabnya pengasasnya mendaftarkan PAS sebagai sebuah parti politik. Sejak di tubuhkan pada awal 1950-an PAS kali pertama menyertai pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan pada 1955. Sejak itu PAS berterusan tidak ketinggalan menyertai piliha raya umum (PRU) dan pilihan raya kecil(PRK) sehingga ke hari ini, sama ada secara bersendirian atau bersama rakan gabungan. Ini kerana PAS berkeyakinan kuasa wajib berada di tangan mereka yang ingin menegakkan Islam dan tidak mungkin ianya ditegakkan melalui dakwah, teguran dan nasihat semata-mata.
Oleh itu PAS sejak awal berusaha untuk mendapatkan kuasa melalui proses demokrasi. Maka setiap tindakan yang diambil PAS semestinya bertujuan mengukuhkan kedudukan politik PAS, menambahkan sokongan terhadapnya dari semua golongan dan pada masa yang sama, mengurangkan sokongan terhadap Umno/BN (sebelumnya Umno-perikatan) yang merupakan pihak yang berkuasa serta saingan PAS.
■ Kekaburan berhubung hakikat perjuangan PAS
Kalau ada kekaburan berhubung persoalan kuasa politik ini dan timbul pula dakwaan sesetengah pimpinan PAS, PAS tidak mementingkan kuasa, maka ini bererti PAS sudah kabur terhadap hakikat perjuangannya sendiri. Dalam erti kata lain, PAS bersikap sebagai badan NGO Islam dan tidak lagi sebagai 'gerakan Islam' mengikut takrif yang diberikan oleh PAS sendiri.
Saya melihat kebelakangan ini seolah-olah kekaburan berhubung persoalan ini semakin menjadi-jadi. Ia bermula di peringkat atasan dan tidak ditangani secara bijaksana sehingga tersebar kekeliruan yang sama ke peringkat bawahan. Bagi mereka yang beranggapan PAS tidak lagi perlu mendapatkan kuasa pemerintahan, maka lebih baik PAS dijadikan badan NGO dakwah saja.
Biarlah mereka yang berkeyakinan dengan kaedah asal PAS, yang jelas dari sejak pembentukannya ingin mendapatkan kuasa pemerintahan, meneruskan perjuangan mereka untuk mendapatkan kuasa politik dari tangan Umno/BN.
■ Perjuangan 'gerakan Islam' ada rakan dan saingan/lawan
PAS sebagai 'gerakan Islam' ada rakan dan saingan/lawan yang nyata. Gerakan Islam terlibat dalam persaingan untuk mengambil kuasa pihak 'lawan' dan memegang kuasa itu, sam ada sendirian kalau mampu, atau bersama rakan-rakannya.
Piagam Madinah yang ditandatangani Rasulullah adalah satu bentuk kerjasama politik yang memungkinkan Rasulullah menjadi pemerintah di kota Madinah. Ia mengikat, melalui satu perjanjian, orang Islam di bawah Rasulullah, orang Madinah yang masih musyrik pada ketika itu dan kabilah Yahudi yang lama hidup di Madinah. Melalui perjanjian ini maka kekuasaan politik Rasulullah tertegak.
Dan kuasa pemerintahan itu digunakan sebagai satu amanah Allah.
NGO Islam, sebaliknya, boleh bersikap semua kawan kerana ia tidak berhasrat mengambil kuasa politik dari sesiapa. Oleh itu ia tidak perlu bermusuhan dengan mana-mana pihak dan hanya bermusuhan dengan fikrah dan pemikiran yang tidak Islamik. Ia tidak perlu membentuk kerjasama dengan pihak lain untuk menjatuhkan pihak berkuasa. Sedangkan 'gerakan Islam' seperti PAS berlawanan dengan pihak berkuasa yang menegakkan fikrah dan pemikiran tidak Islamik itu! Dan PAS perlukan sokongan dan bantuan semua pihak ke arah mendapatkan kuasa itu.
Pesanan Syed Hawa dalam kitabnya yang berjudul 'Jundullah' amat jelas dalam persoalan ini. Beliau berpesan:"Mengenali musuh dan mengenali kejahatannya serta tipu helahnya adalah keperluan asasi bagi seorang Islam yang kontemporari..."
Ini merupakan pesanan yang relevan bagi gerakan Islam seperti PAS. Sentiasa waspada terhadap 'tawaran pihak lawan'.
Apabila jelas adanya rakan dan lawan bagi sesebuah 'gerakan Islam' maka tindakan dan tawaran terhadapnya oleh pihak lawan perlu sentiasa dicurigai. Lebih-lebih lagi sekiranya lawan tersebut pernah mengkhianati PAS!
Ini bersesuaian dengan pesanan Rasulullah mafhumnya:"Tidak wajar bagi seseorang mukmin dipatuk 2 kali dari lubang yang sama.”
Dalam keadaan sebegitu amat wajar dipersoalkan keikhlasan pihak lawan kerana berkali-kali PAS dipatuk Umno/BN. Sikap menghulur leher kepada pihak lawan atas alasan "keikhlasan urusan Allah" mendedahkan sikap kurang berhati-hati PAS. Yang kesannya boleh membawa kepada kekalahan berpanjangan dalam persaingan. Jangan lupa, PAS mengambil masa 16 tahun untuk memenangi kembali Kelantan setelah ditipu Umno dan ditendang keluar BN pada 1978.
Tawaran perlu juga dicurigai dan disangsi apabila pihak lawan berada dalam keadaan tersepit. Ia perlu dilihat sebagai satu usaha untuk menyambung talian hayat pihak lawan.
Kisah perang Siffin antara Saidina Ali dan Muawwiyah mengandungi pengajaran yang jelas. Kisah ini diriwayatkan oleh banyak buku sejarah dan tulisan at-Tabari dan Ibn Kathir adalah antara rujukan muktabar. Pokoknya apabila tentera Muawiyyah sudah tersepit hampir dikalahkan, maka Amru Al-Aas mencadangkan kepada Muawiyyah supaya tenteranya meletakkan masyhaf Al-Quran di hujung tombak mereka sambil menuntut gencatan senjata untuk diadakan majlis tahkim. Mereka melaung "biarlah Al-Quran menjadi pemutus dalam soal perbalahan kita". Saidina Ali berkeras menolak dan ingin meneruskan pertempuran tetapi sebahagian tenteranya tidak bersetuju. Oleh itu Saidina Ali terpaksa menghentikan peperangan yang sedang dimenangi dan mengadakan majlis tahkim. Dengan itu Muawiyyah terlepas daripada terus ditekan sehingga akan dipaksa menyerah kalah.
Dalam peristiwa ini jelas Saidina Ali menzahirkan cara pemikirannya yang bersifat haraki atau 'gerakan Islam' dengan analisa politik tajam beliau. Dia mengenali lawannya serta memahami matlamat sebalik peperangan itu. Dan dia tahu bahaya tipu helah lawan. Tenteranya bersikap sebaliknya, tidak mengenali lawan, tidak memahami matlamat sebenar sebalik peperangan itu dan tidak memahami tipu helah lawan. Walaupun memang keikhlasan itu urusan Allah, namun dalam suasana persaingan dan berperang, kita berhak mempersoalkannya.
Apabila diadakan majlis tahkim, Amru ibn Al-Aas mewakili Muawiyyah dan Abu Musa Al-Asyaari mewakili Saidina Ali. Ringkasnya Abu Musa Al- Asyaari terperangkap dengan tipu helah Amru ibn Al-Aas dan suasana kembali bercelaru. Namun yang penting bagi Amru ibn Al-Aas, Muawiyyah diselamatkan daripada kekalahan di Siffin.
Hakikatnya, dewasa ini, Umno berada dalam keadaan tersepit. Hudud diletakkan di hujung tombak sebagai umpan perdamaian untuk menarik minat PAS. Pemikiran seorang ahli gerakan Islam yang faham politik melihatnya sebagai tipu helah, pemikiran seorang 'pendakwah' yang tidak melihat dirinya berada dalam persaingan kuasa, tidak sedemikian.
■ Pendekatan berhemah, berstrategi dan tadarruj
Dalam berusaha untuk mendapatkan kuasa, sememangnya matlamat dan tujuan PAS tidak wajar disembunyikan. Hakikat bahawa PAS ingin "mewujudkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai Islam dan undang-undangnya menuju keredaan Allah" jelas termaktub dalam perlembagaan PAS. Oleh itu dakwaan "menipu rakyat" tidak timbul.
Namun demikian, ini tidak bermakna PAS tidak boleh bertindak secara bijaksana dan berhemah, mendahulukan apa yang perlu didahulukan (awlawiyyat) serta mengambil pendekatan 'tadarruj' atau berperingkat, berdasarkan tunjuk ajar yang dipetik daripada sirah Rasulullah dan pemerintahan para sahabat . Ayat Al-Quran sendiri diturunkan mendahulukan akidah dan akhlak daripada hukum hakam syariat yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak.
Pada masa sama, memanfaatkan bantuan golongan musyrikin dan ahlul kitab untuk membenarkan perjuangan Islam itu diteruskan adalah merupakan kenyataan sejarah yang tidak mungkin dipadamkan. Kisah hijrah pertama ke Habsyah satu contoh yang jelas.
Dan ini semua persoalan yang perlu ditangani 'gerakan Islam' yang berpolitik seperti PAS. PAS sebagai badan yang berpolitik perlu mengambil kira perkara 'nas', 'maslahat' dan 'waqi' apabila berijtihad berhubung tindakan yang ingin diambilnya. Dalam pada itu PAS perlu mengenali rakan dan lawan dan menghalang dirinya dari dipatuk oleh lawan yang sentiasa berusaha untuk mencelarukan hubungan antaranya dan rakan demi melemahkan kedudukan PAS. – 9 Mei, 2015
~Ustaz Ahmad Awang
SUMBER
NOTA: Oleh kerana rencana Ustaz Ahmad Awang ini panjang, Yong reserve komen pada waktu lain. Jangan marah!
NOTA: Oleh kerana rencana Ustaz Ahmad Awang ini panjang, Yong reserve komen pada waktu lain. Jangan marah!
Senarnya Pas sudah pun mengenali musuh2 nya, dan salah seorang daripada musuh tersebut adalah Awang sendiri.
ReplyDeleteThis comment has been removed by a blog administrator.
DeleteKatiman ini mempromosi telek nombor ekor. Perbuatan syikir tidak diampunkan dosanya oleh Allah SWT.
DeleteDin well payer, khai takiri x kanan sila tolong jawab!
ReplyDeleteSalam yong
ReplyDeleteIni lerr baru layak jd presiden..ini idak,meraban x tentu hala rope org mabuk ketum..kejap nk sama ngn PR,kejap kang nk UG..