Di sini komer kena lihat dengan hati. Baca dengan otak. Baca sampai habis. Dalam hati ada perasaan. Dalam otak ada akal. Kalau tidak komer tak faham.

MAAF

Semua blog yang ada iklan tersembunyi, iklan jual produk untuk tujuan seks, dan iklan yang menempel di tengah halaman (sama ada menutup teks atau tidak) akan dikeluarkan.

Wednesday 10 September 2014

JIKA USTAZ NORAZLI MAHU MENCADANGKAN LUHAM DAN SELURUH AJKNYA DIGANTUNG ATAU DIBUBARKAN, SILA USUL DI DALAM MUKTAMAR: ZULHAZMI SHARIFF

Baca semua sampai habis. Jangan baca sekerat-sekerat. 

Yong sekadar berkongsi maklumat. Yong mengaku bukan pakar undang-undang. Biarlah yang pakar membincangkannya.


Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Salawat dan Salam ke atas Baginda Muhammad Rasulullah.

Respon kepada tulisan Ustaz Norazli Musa Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Negeri Perak bertajuk "LUHAM yang tak ada kuasa tafsir Perlembagaan vs Majlis Syura Ulamak yang diberi kuasa?"

Firman Allah dalam surah An-Nisaa' ayat 58 berbunyi :

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.”.

Secara keseluruhannya Ustaz Norazli mempersoalkan hak LUHAM (Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) yang katanya tidak diberikuasa mentafsir Perlembagaan Pas. Oleh itu LUHAM tiada kuasa mempertikaikan hak dan kuasa Majlis Syura Ulamak (MSU) yang diberikuasa menghurai, mentafsir dan menjelaskan Perlembagaan seperti yang diperuntukkan oleh Fasal 8(1)(a).

Saya ingin mengajak Ustaz Norazli dan semua pembaca untuk membaca kembali kenyataan rasmi LUHAM yang dikeluarkan semalam 9/9/2014. Saya muatnaik semula kenyataan LUHAM seawal perenggan ke-2 seperti berikut :-

"LUHAM berpendapat bahawa walaupun Fasal 8 (1) (a) Perlembagaan PAS memberi kuasa kepada MSU untuk menghurai, menjelaskan dan menafsirkan mana-mana peruntukan perlembagaan di dalam Perlembagaan PAS sepertimana yang dinyatakan oleh MSU di dalam kenyataan rasmi badan itu, namun terdapat dua (2) prasyarat yang perlu dipenuhi sepertimana yang dinyatakan di Fasal 88 (1) Perlembagaan PAS iaitu perlunya ada perselisihan faham dan adanya rujukan secara rasmi kepada MSU terlebih dahulu. 

Kemudiannya, jika dilihat kepada Fasal 8 (1) (a) tersebut, peruntukan itu juga menyebut bahawa kuasa menghurai, menjelas dan menafsirkan mana mana peruntukan Perlembagaan PAS itu hanya timbul jika timbulnya kesamaran mengenai maksud dan tujuan mana-mana peruntukan Perlembagaan tersebut.

Dengan tidak menafikan kewujudan kuasa MSU bagi menghurai, menjelas dan menafsirkan mana mana peruntukan Perlembagaan PAS jika timbulnya kesamaran, LUHAM juga berpendapat menjadi satu keperluan juga bagi MSU benar-benar mengetahui dan memahami kaedah-kaedah penafsiran sesuatu Perlembagan supaya apa-apa tafsiran yang diberikan adalah lebih tepat, munasabah dan memenuhi ruh, matan dan niat perlembagaan itu sendiri."

Sejak dari permulaan kenyataannnya, LUHAM tidak pernah mempertikai atau menafikan HAK MSU yang diberikan oleh Perlembagaan untuk menghurai, mentafsir dan menjelaskan peruntukkan Perlembagaan. Ini amat jelas. LUHAM tidak menafikan hak MSU. Lebih dari itu LUHAM juga tidak pernah pada bila-bila masa mengatakan bahawa LUHAM berkuasa untuk mentafsir, menghurai dan menjelaskan Perlembagaan, tetapi LUHAM berpandangan bahawa tidak salah bagi LUHAM yang merupakan sebuah lajnah rasmi yang ditubuhkan melalui Perlembagaan PAS untuk memberikan pandangan berkaitan undang-undang yang menjadi teras kewujudan LUHAM.

Allah berfirman dalam surah An-Nahl ayat 53 yang bermaksud :

“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” 

LUHAM menjalankan amanahnya sebagai penasihat yang memberikan nasihat di atas kepakaran yang mereka ada. Kepakaran LUHAM adalah berkaitan perundangan. Ianya adalah sekadar atas dasar memberikan nasihat dan pandangan BUKAN menafikan atau menidakkan hak MSU membuat tafsiran. Malah tindakan LUHAM tersebut adalah selari dengan tuntutan syarak iaitu nasihat menasihati atas yang hak serta selari dengan penubuhan PAS sebagai sebuah parti yang menegakkan Al-Amru Bil Ma'ruf Wan Nahyu 'Anil Munkar.

Ustaz Norazli terbawa-bawa sehingga kepada peruntukkan Seksyen 18c Akta Pertubuhan yang mengatakan segala keputusan badan yang diberikuasa untuk mentafsir Perlembagaan adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah.

Saya berpandangan di dalam konteks MSU sekarang bahawa peruntukkan Seksyen 18c Akta Pertubuhan memberi maksud bahawa sebarang keputusan MSU tidak boleh dicabar di Mahkamah tetapi tidak menyatakan bahawa keputusan tersebut tidak boleh dipertikai secara dalaman. Seksyen 18c tersebut tidak terpakai dalam hal kenyataan LUHAM kerana LUHAM tidak mempertikai hak MSU. LUHAM sekadar memberikan pandangan bahawa MSU menjalankan tugas dan kuasanya tidak mengikut peruntukkan Perlembagaan. Apabila kuasa dan tugas dilakukan secara tidak berperlembagaan, maka dengan sendiri keputusan daripadanya adalah tidak terpakai walaupun keputusan itu muktamad dan tidak boleh dicabar di Mahkamah. LUHAM tidak mencabar MSU di Mahkamah tetapi LUHAM memberikan pandangan dan pendapat. Itu bezanya.

Sekali lagi saya ingin membuka mata dan minda Ustaz Norazli dan semua bahawa jika kita baca dan fahami kenyataan rasmi LUHAM adalah jelas, terang lagi nyata bahawa LUHAM tidak pernah menafikan hak MSU mentafsir Perlembagaan. LUHAM tidak pernah mengambil kuasa MSU untuk mentafsir Perlembagaan tetapi LUHAM bertindak atas kapasiti pemberi pandangan dan nasihat.

Saya juga ingin menarik perhatian semua bahawa kenyataan rasmi LUHAM tersebut telah dibuat dan dikeluarkan setelah ahli LUHAM bermesyuarat, berbincang, berbahas dan memutuskan seperti yang dikeluarkan. Ini jelas disebutkan di perenggan 1 kenyataan LUHAM bahawa 

"Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat ( LUHAM ) telah bermesyuarat pada 8hb September 2014 bagi membincangkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Syura Ulama ( MSU ) pada 7 September 2014. Setelah berbincang dan meneliti segala peruntukan yang terkandung di dalam Perlembagaan PAS termasuk peruntukan-peruntukan tertentu yang dirujuk oleh MSU di dalam kenyataan rasmi tersebut, LUHAM sebulat suara bersetuju supaya suatu kenyataan rasmi dibuat bagi menyatakan pandangan LUHAM berkenaan isu yang dibangkitkan dalam kenyataan rasmi MSU tersebut"

Kenyataan tersebut dikeluarkan atas nama LUHAM melalui Setiausaha LUHAM. Itu cara organisasi LUHAM. Kenyataan rasmi dikeluarkan melalui Setiausaha. Jika tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut, jangan dilanyak Setiausaha berseorangan kerana Setiausaha menjalankan amanahnya yang diberikan oleh Lajnah melalui mesyuarat. Setiausaha tidak mengeluarkan kenyataan secara bersendiri. Itulah LUHAM, melakukan sesuatu berdasarkan SYURA berdasarkan kesepakatan keseluruhan mesyuarat. Walau pun di sana ada perselisihan pendapat, pandangan dan kekhilafan tetapi apabila mesyuarat memutuskan maka LUHAM keseluruhan bertanggungjawab.

Wahai orang-orang yang beriman sesungguhnya Allah mengarahkan kamu memberikan amanah kepada yang hak. Yang berhak mentafsir, menghurai dan menjelaskan Perlembagaan ialah MSU tetapi LUHAM juga berhak untuk memberikan pendapat dan pandangan di atas amanahnya sebagai penasihat undang-undang parti. Apabila LUHAM ditubuhkan untuk berfungsi sebagai penasihat undang-undang parti maka MSU juga berhak dinasihati oleh LUHAM kerana MSU juga adalah sebuah badan di dalam parti.

AKHIRNYA, jika Ustaz Norazli mahu mencadangkan LUHAM dan seluruh AJKnya digantung atau dibubarkan, sila usul di dalam muktamar. Jika mahu mencadangkan AJK LUHAM meletak jawatan, saya buka cadangan tersebut kepada semua AJK LUHAM.

Saya menulis atas kapasiti peribadi kerana saya bukan AJK LUHAM tetapi saya adalah ahli PAS yang berprofesyen peguam.

ZULHAZMI SHARIFF
10/09/2014

2 comments:

  1. salam Yong... apasal blog gua yong keluarkan dari senarai yong ?. apa Yong ingat gua dah kedalam ke... kah kah kah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Mat Indera

      Miker senyap tak update blog. Ingat dah pencen. OK. Yong letak balik. Huhuhu...sorry...

      Delete

Komen mengkomer Yong tapis. Yong tak gemor kalau komer singgah dan melalut dengan bahasa mencarut atau bersifat racist. Yong takkan terbitkan. Komen yang ada link iklan akan masuk dalam spam. Tak kira dari penyokong mana-mana parti. Tak puashati? Ini hak tuantanah - untuk terbit atau tidak terbitkan komen mengkomer.