Di sini komer kena lihat dengan hati. Baca dengan otak. Baca sampai habis. Dalam hati ada perasaan. Dalam otak ada akal. Kalau tidak komer tak faham.

MAAF

Semua blog yang ada iklan tersembunyi, iklan jual produk untuk tujuan seks, dan iklan yang menempel di tengah halaman (sama ada menutup teks atau tidak) akan dikeluarkan.

Sunday, 5 July 2015

MUHYIDDIN YASSIN CAKAP BERLAPIK-LAPIK, MENGKOMER FAHAM KE?

Berikut kenyataan penuh Timbalan Perdana Menteri Malaysia mengenai isu yang menyelubungi 1MDB dan Najib Razak:

1 hr · 

Kenyataan Media

YAB Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin
Timbalan Perdana Menteri

Saya berasa amat bimbang dengan pendedahan terkini Wall Street Journal mengenai beberapa akaun peribadi milik YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd. Razak yang didakwa telah menerima sejumlah wang daripada beberapa buah entiti yang dikatakan mempunyai hubungan dengan 1MDB. 

Tuduhan ini amatlah berat kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti Dato' Seri Najib sebagai Perdana Menteri dan Ketua Kerajaan. Isu ini juga telah menarik perhatian rakyat serta media antarabangsa dan pastinya menyentuh kepentingan awam. 

Oleh itu, saya berpendirian bahawa pihak berkuasa penyiasatan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara perlu bertindak segera untuk menyiasat segala tuduhan yang dibuat terhadap Dato' Seri Najib. Saya yakin siasatan mengenai perkara ini akan dijalankan secara terperinci, telus dan bebas demi mencari kebenaran.

Oleh kerana tuduhan ini adalah bersifat peribadi, maka adalah wajar bagi Dato' Seri Najib untuk memberikan penjelasan yang meyakinkan atau membuat penafian. Sehubungan itu, saya menyambut baik kenyataan Dato' Seri Najib yang telah menafikan tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau. Sekiranya beliau yakin semua tuduhan itu adalah tidak benar dan fitnah semata-mata, maka adalah wajar beliau mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak-pihak yang membuat tuduhan demi membersihkan nama beliau dan mengembalikan kredibiliti kerajaan.

Sementara siasatan terperinci dijalankan, saya menyeru semua pihak supaya bertenang. Saya pasti kebenaran akan muncul hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Saya berdoa mudah-mudahan di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini, Allah s.w.t akan memberikan kita segala tawfiq dan hidayah untuk menyelesaikan segala kemelut yang berlaku dan mengurniakan kesejahteraan yang berkekalan kepada rakyat dan negara kita.

TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Timbalan Perdana Menteri Malaysia

4 Julai 2015

********************

Alahai...!

Setelah keadaan sunyi sepi selama 24 jam, keesokkan harinya, Ketua Pembangkang, Dr Wan Azizah pula bersuara.

KENYATAAN MEDIA

PERTEMUAN TERGEMPAR AHLI-AHLI PARLIMEN BERKENAAN PERKEMBANGAN POLITIK TERKINI

Perkembangan politik terkini tanah air meletakkan kita di beberapa senario yang baru, yang mungkin belum pernah kita alami dalam sejarah negara setakat ini. Dakwaan cukup berat yang dibuat akhbar Wall Street Journal tentang sejumlah wang yang dimasukkan ke akaun peribadi Dato' Sri Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia, kini kelihatan berasas apabila Tan Sri Gani Patail, Peguam Negara, mengesahkan beliau telah melihat dokumen sama yang dipetik akhbar tersebut dan serbuan terhadap premis ketiga-tiga syarikat yang didakwa terlibat telah berlaku semalam.

Kegusaran di kalangan rakyat Malaysia akibat perkembangan terkini ini tidak memungkinkan KEADILAN dan parti-parti Pembangkang malah di kalangan UMNO-Barisan Nasional sendiri untuk terus berdiam diri. Walaupun kita menanti laporan penuh mengenai kes ini dari semua agensi kerajaan yang bertanggungjawab, namun kita perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan demi memastikan kepentingan rakyat dan negara terjamin.

Oleh itu, saya akan memanggil satu pertemuan Ahli-Ahli Parlimen dari semua parti-parti Pembangkang malah juga dari UMNO-Barisan Nasional untuk membincangkan keadaan politik terkini dan halatuju negara. Pertemuan ini akan diadakan pada hari Selasa, 7 Julai, jam 12 tengah hari di Parlimen. Maklumat lanjut mengenai tempat pertemuan akan diberi kemudian.

Saya juga memanjangkan jemputan terpilih kepada pimpinan-pimpinan badan bukan kerajaan (Non-Governmental Organizations, NGOs) untuk bersama-sama di dalam pertemuan tergempar ini.

Saya berharap melalui pertemuan ini, Ahli-Ahli Parlimen dari semua parti serta NGO dapat menzahirkan satu keputusan yang melambangkan keprihatinan rakyat seluruh negara kepada kebolehpercayaan rakyat terhadap kepimpinan Dato' Sri Najib Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Satu sidang media akan diadakan di Parlimen pada jam 2.30 petang, selepas pertemuan ini.

Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia

5 Julai 2015

Yong tak kisah apa Dr Haron Din cakap. Dia bukan Ahli Parlemen pun.

Tapi mengkomer faham tak apa yang dimaksudkan oleh dua orang pemimpin dari dua buah parti politik yang saling bermusuhan tu?

Maksudnya, takde Ahli Parlemen yang boleh duduk diam, senyap-senyap macam benda ni tak seriuslah, weh!

Tapi apa maknanya ayat "siasatan mengenai perkara ini akan dijalankan secara terperinci, telus dan bebas demi mencari kebenaran?"

Senang cakap, maknanya tiada aspek walau sebesar zarahpun yang disembunyikan atau dihalang dari siasatan.

Tapi kan...??

Selalunya kalau ada penjawat awam disiasat, penjawat awam itu akan digantung tugas atau diminta bercuti. Betul tak?

Tak kira dia bersalah atau tidak bersalah.
Itu peraturan yang standard di mana-mana negarapun.

Kenapa tak dibenarkan datang kerja?
Kerana ditakuti dia akan mengganggu siasatan. Noktah.

Jadi, kalau PM yang akan di siasat, macam mana?
Ada pengecualian ke?

Mengkomer faham tak?





4 comments:

  1. DeeDee Yong...

    Jangan risau la... Najib Razak akan didapati tidak bersalah dengan pertuduhan ini.... kerana akaun tersebut bukan dibuat olehnya.

    C++
    CipanTapirTenuk.Blogspot

    ReplyDelete
  2. Salam yong
    Ini semua akaun DSAI..jwpn biasa ahli umno

    ReplyDelete
  3. Salam iftar yong

    Pihak Amerika dan Barat mempunyai perisikan canggih di asean dibantu Singapore...

    Kalau Singapore bagi sing dolar 2.88, meleleh penyiasat Malaysia.... Maklumat boleh bocor... Lepastu dari Singapore terus ke CIA

    Dari CIA ke WSJ

    Kesian Najib terpaksa merterai perjanjian TPPA kerana us700juta!!!

    ReplyDelete

Komen mengkomer Yong tapis. Yong tak gemor kalau komer singgah dan melalut dengan bahasa mencarut atau bersifat racist. Yong takkan terbitkan. Komen yang ada link iklan akan masuk dalam spam. Tak kira dari penyokong mana-mana parti. Tak puashati? Ini hak tuantanah - untuk terbit atau tidak terbitkan komen mengkomer.