Di sini komer kena lihat dengan hati. Baca dengan otak. Baca sampai habis. Dalam hati ada perasaan. Dalam otak ada akal. Kalau tidak komer tak faham.

MAAF

Semua blog yang ada iklan tersembunyi, iklan jual produk untuk tujuan seks, dan iklan yang menempel di tengah halaman (sama ada menutup teks atau tidak) akan dikeluarkan.

Friday 14 October 2016

PAS MANGSA POLITIK MACHIAVELLI: UCAPAN KETUA DEWAN ULAMAK PAS SELANGOR HIMPUNAN MEGA 4 DEWAN

Jom kita hadam ucapan pemimpin PAS ini. Yong perturunkan semua sekali. Jika merasakan panjang sangat, baca yang berwarna biru:

UCAPAN KETUA DEWAN ULAMAK PAS SELANGOR HIMPUNAN MEGA 4 DEWAN
BERTEMAKAN :

SELANGOR PRU 14 : BERSAMA PAS MEMIMPIN PERUBAHAN

Firman Allah swt, surah An Nisa' ayat 104,

وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ ۖ إِنْ تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ ۖ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

". Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana..."

SINOPSIS

Perkembangan mutakhir politik semasa di negara kita memberikan kesan mendalam kepada PAS secara khususnya. Pilihanraya umum ke 12 dan ke 13 adalah merupakan satu pengajaran dan iktibar baru di Selangor ketika kebersamaan antara parti-parti politik pembangkang khasnya antara PAS, PKR dan DAP disamping dalam berhadapan dengan pihak UMNO BN yang pada waktu itu telah hilang keyakinan dari kalangan pengundi khasnya bukan Melayu. 

Rata-rata pengundi melihat bahawa kepincangan dan salahguna kuasa kerajaan pimpinan UMNO BN dalam negara ini telah memberikan kesan kepada kehidupan dan sosio ekonomi rakyat ditambah keresahan itu dengan peningkatan kos sara hidup dan lain-lain. 

Faktor siri kezaliman kerajaan UMNO BN kepada seteru politiknya dan ketidakadilan pimpinan musuh politiknya juga merupakan salah satu penyebab pengundi memberi undi berganjak kepada pembangkang. Penyalahgunaan Akta dan undang-undang drakonian seperti ISA, OSA dan lain-lain juga tidak mampu menyekat kemaraan pembangkang dan juga kebangkitan rakyat. Rakyat dan pengundi sudah celik politik dan juga bijak menilai sebelum mereka membuat keputusan memberikan undi kepada pihak yang memimpin mereka. 

Persempadan baru di era Tun Mahathir Mohammad sebagai Perdana Menteri ketika Pilihanraya umum ke-12 dan sebelumnya telah memperbanyakkan kerusi campuran di Dun dan Parlimen khasnya di Selangor. Tujuan asalnya kewujudan banyak kerusi bukan Melayu bertujuan menyekat sokongan Melayu daripada menyokong pembangkang khas PAS sudah tidak lagi menjadi senjata ampuh ketika memasuki pilihanraya umum ke -13 apabila pembangkang ( Pakatan Rakyat ) berjaya meraih kemenangan dan merampas banyak kerusi campuran kerana peralihan sokongan "full swing" daripada kalangan pengundi bukan Melayu. Peningkatan 8 kerusi DUN yang PAS perolehi pada PRU 2008 dari 8 kerusi meningkat ke 14 kerusi pada PRU 2013. 

Namun, selepas PRU 13 PAS melihat bahawa sikap sebenar rakan politiknya khasnya DAP apabila mereka mula berlagak TUAN dalam disebabkan mereka memiliki banyak kerusi, sikap dan rupa mereka yang sebenar telah melakukan beberapa tindakan yang melangkaui syarat tahaluf siyasi dengan PAS. 

Bermula dengan respon tidak beretika oleh DAP terhadap PAS terutamanya dalam beberapa isu di Selangor seperti Langkah Kajang, isu Menteri Besar Selangor, usaha mencampuri urusan dalaman PAS dalam Muktamar dan terbaru sokongan DAP kepada serpihan PAS iaitu PAN dalam PRK Sg Besar.

DAP juga tanpa segan silu mencampuri urusan hal ehwal Islam seperti usaha PAS memartabatkan Undang-undang Islam di Kelantan sekalipun ia merupakan hak negeri yang dimenangi oleh PAS dan juga bertentangan dengan konsep " agree to disagree " dalam tahaluf siyasi.

Kepimpinan era baru PAS pasca muktamar harus meneliti perkembangan mutakhir dengan positif dan optimis menerusi kebangkitan semula Islam dan perjuangannya mendepani politik negara ini terutamanya PRU 14 mendatang. 

PENGALAMAN SELANGOR PASCA PRU 13

Selangor adalah satu karektor besar daripada banyak kisah yang dinyatakan sebelum ini. Iaitu PAS di Selangor telah menerusi dan melalui setiap kejadian dan peristiwa tersebut pahit maung kesan daripada sikap DAP dan rakannya PKR secara tidak langsung dalam Pakatan Rakyat sebelum ini. 

Dewan Ulamak Selangor mengucap syukur kepada Allah atas memberikan kekuatan kepada PAS Selangor sehingga mampu berIstiqamah mendepani cabaran ini dengan berlapang dada dan hati terbuka menerima ketentuan Allah sebagai salah satu rencah perjuangan Islam. 

Kerusi yang dimenangi PAS dalam PRU 13 sebanyak 15 kerusi, yang pada awalnya suara PAS adalah suara dominasi, kini ia menjadi suara minoriti dalam kerajaan disebabkan pengkhianatan oleh pihak PAN yang cenderung dengan DAP. 

Pengkhianatan ini ia lebih mendukacitakan apabila rakan tahaluf PAS iaitu PKR dan di samping juga DAP sanggup bermuka dan membiarkan parti yang mengkhianati PAS dan juga penyebab kekalutan kerajaan negeri ini dengan mudah menduduki beberapa kerusi dalam kerajaan seperti ahli majlis dan juga dibenarkan dan mendapat restu sebagai seteru PAS dalam pilihanraya kecil Sungai Besar. 

Justeru itu, PAS di Selangor walaupun berjaya mengambil tindakan bijaksana dalam kerajaan demi mengekalkan mandat rakyat dan kepercayaan mereka, Dewan Ulamak Selangor berpandangan bahawa PAS di Selangor tidak boleh berada di kedudukan sama setelah menghadapi apa yang telah berlaku. 

Perubahan jelas pada status quo dan kedudukan politik telah ketara berlaku serta beralih ke satu tahap yang lain di Selangor khasnya dan di Malaysia amnya maka begitu juga strategi politik pun seharusnya berubah dalam mendepani situasi terkini. 

Dewan Ulamak Selangor berpendapat bahawa PAS di Selangor perlu mengorak langkah dengan berani dan menerima realiti bahawa PAS harus bergerak dengan rupa dan gaya baru dan berketerampilan serta lebih berkeyakinan pada kali ini. PAS Selangor tidak lagi perlu untuk dijadikan mangsa sebahagian percaturan politik machiavelli (politik menghalalkan cara) rakannya sebelum ini kerana tatacara ini adalah tidak selari dengan perjuangan Islam dan dasarnya dan ianya bercanggah dengan akhlak dan displin perjuangan berprinsipkan al Quran dan as Sunnah.

Bersekongkolan dengan politik dan tatacara amalan politik sebegini menjauhkan PAS daripada pertolongan dan rahmat Allah s.w.t. 

FirmanNya, surah as Shura ayat 15, 

فَلِذَٰلِكَ فَادْعُ ۖ وَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ ۖ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ ۖ وَقُلْ آمَنْتُ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ مِنْ كِتَابٍ ۖ وَأُمِرْتُ لِأَعْدِلَ بَيْنَكُمُ ۖ اللَّهُ رَبُّنَا وَرَبُّكُمْ ۖ لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ ۖ لَا حُجَّةَ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ ۖ اللَّهُ يَجْمَعُ بَيْنَنَا ۖ وَإِلَيْهِ الْمَصِيرُ

"..Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (mereka - wahai Muhammad - kepada berugama dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka; sebaliknya katakanlah: "Aku beriman kepada segala Kitab yang diturunkan oleh Allah, dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu. Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal kami dan bagi kamu amal kamu. Tidaklah patut ada sebarang pertengkaran antara kami dengan kamu (kerana kebenaran telah jelas nyata). Allah akan menghimpunkan kita bersama (pada hari kiamat), dan kepadaNyalah tempat kembali semuanya (untuk dihakimi dan diberi balasan)".

PAS Selangor pada kali ini perlu mendominasi acuan poltik dengan Islam dan juga mengislahkan politik sedia ada kepada Islam bukannya didominasi dan dicorakkan oleh pihak lain yang menyimpan kedengkian dan keraguan terhadap kemampuan Islam. 

Malah mereka menggunakan kelebihan yang ada pada PAS untuk meraih sokongan rakyat seperti jentera PAS yang kuat dan sokongan undi dari kalangan masyarakat Melayu Islam dalam pilihanraya tetapi sesudah itu menjadikan PAS dalam keterpaksaan menagih simpati daripada kuasa di tangan mereka sekalipun dalam urusan agama Islam dan umat Islam. 

PAS Selangor mesti berani mengemukakan pandangan jelas terhadap isu politik di Selangor walaupun terhadap parti PKR dan DAP yang merupakan anggota dalam kerajaan negeri. Kita PAS Selangor jangan terlalu ingin menjaga pihak lain sehingga kita sendiri terpaksa mengigit lidah dan jari sendiri. Dari satu sudut, isu-isu politik sememangnya perlu ada pendirian jelas oleh PAS sebagai check and balance kepada kerajaan walaupun PAS juga sebahagian dalam kerajaan. 

ISLAM DI SELANGOR

Kemenangan PAS sehingga 15 kerusi DUN di Selangor pada PRU 13 juga harus dilihat bahawa kemenangan ini merupakan suara rakyat Islam di negeri selangor. Mereka mengimpikan bahawa PAS mampu memberikan perubahan pada kedudukan Islam dan PAS menjadi harapan mereka bahawa Islam dimartabatkan sesuai dengan kemuliaannya. PAS lebih diyakini berbanding UMNO dan PKR dari sudut memperjuangkan Islam. 

Oleh kerana itu, kerusi yang dimenangani oleh PAS adalah kerusi di kawasan majoriti Melayu Islam yang sememangnya dan pastinya mereka memilih PAS adalah kerana keyakinan mereka bahawa PAS yang mampu membawa mesej Islam di Selangor.

Memang tidak dinafikan bahawa ada di sana beberapa kemajuan dan kejayaan dicapai ketika keberadaan PAS dalam kerajaan di Selangor, namun ia masih di tahap yang kurang memberangsangkan dan memuaskan. Lebih-lebih lagi sudah 2 penggal PAS berada dalam kerajaan dari PRU 2008 sehingga PRU 2013. Ada juga telahan mengatakan bahawa kuasa Islam pada PAS dalam Kerajaan Selangor hampir dikatakan tiada. 

PAS hanya memakmurkan dan mengimarahkan nilai-nilai Islam yang sudah sedia ada dalam negeri Selangor tetapi PAS belum lagi berjaya mewujudkan dan merealisasikan sesuatu yang baru daripada sistem Islam dan nilainya dalam kerajaan dan pentadbirannya. 

Ini dilihat bukan hanya pada bidang Hal Ehwal Agama Islam sahaja, tetapi dalam bidang lain juga. Seharusnya PAS mampu mengemukakan pandangan Islam sebagai dasar bernegeri dan pentadbiran. Sebagai contoh dasar ekonomi dan pembangunan negeri selangor, adakah selama ini PAS mampu membawa cadangan dan mempertahankannya sehingga dasar-dasar itu menepati Islam dan sistemnya.?

Ini bukan berniat mempertikaikan kemampuan wakil PAS dalam kerajaan, tetapi poinya ialah bahawa selama kita tidak memimpin dan mengetuai politik dan coraknya di Selangor ini, selama itulah Islam tidak dimartabatkan. Ini kerana kuasa dominasi dan juga kuasa mutlak di Selangor ada pada tangan orang yang tidak mahu, tidak faham dan malah memusuhi Islam.

Selangor memiliki kelebihan sistem beraja yang masih dan teguh serta dihormati oleh rakyat di negeri ini. DYMM Sultan Selangor yang juga Ketua Agama Islam di negeri Selangor meletakkan pengharapan tinggi kepada PAS untuk memimpin di Selangor kerana PAS memiliki rekod baik dan terbukti kejujurannya bagi menjaga kepentingan agama dan orang Melayu Islam. 

Maka dengan sebab itu, PAS perlu tampil dengan berani ditonjolkan kepada sistem raja di negeri ini bahwa PAS bersedia menjadi pemimpin kerajaan negeri Selangor jika diberi peluang dan PAS sanggup menggalas tanggungjawab itu dengan terbaik. Memimpin Selangor lebih baik digalas oleh PAS daripada pihak lain seperti UMNO dan PKR.

PERSEMPADANAN SEMULA KAWASAN PILIHANRAYA

Cadangan suruhanjaya pilihanraya mengemukakan persempadan baru di seluruh negara termasuk di Selangor, maka Dewan Ulamak Pas Selangor melihatnya dengan pandangan positif dan optimis. Tanpa dinafikan bahawa SPR melaksanakan kerja-kerja ini bagi memenangkan UMNO untuk berhadapan PRU 14 nanti. Itu sudah ketara.

Sebagaimana kita maklumi bahawa posisi kerusi DUN atau Parlimen majoriti pengundi Melayu sememangnya lokasi dan tempat strategik PAS apabila berhadapan dalam pilihanraya umum atau kecil sebelum ini. 

Adapun, persempadanan baru ini telah menjadikan kerusi DUN majoriti Melayu lebih kukuh tanpa dirisaukan pengundi bukan Melayu. Faktor pengundi bukan Melayu telah mendilemakan PAS sehingga adakalanya kita dalam usaha memancing undi bukan Melayu terpaksa menjaga sentimen agama, kaum dan bahasa yang menjadi " barrier " atau halangan dalam kempen kita. Di samping PAS ingin juga mendapat mandat undi daripada kaum Melayu Islam. 

Ini bukan bermakna PAS tidak perlu melihat pengundi Melayu. PAS Selangor memiliki sayap penyokong DHPP yang istiqamah diyakini mampu untuk mengisi kerusi Dun bukan Melayu di beberapa lokasi. Melalui persempadan baru ini sebenarnya telah memusatkan satu trend pengundi ke lokasi yang lain agar tidak memecahkan kerusi yang mengandungi pengundi Melayu. 

Analisa boleh dilihat bahawa undi Melayu pada PRU 2008 yang diperolehi PAS di Selangor sebelum Tahaluf Siyasi iaitu 48.0% dan merosot kepada 43.1% sahaja. Boleh dikatakan bahawa orang Melayu hilang sebahagian keyakinan mereka kepada PAS selepas bersama DAP. Dan PAS memperoleh kenaikan sokongan mendadak undi Cina pada PRU 2013 iaitu 70.3% daripada sebelumnya PRU 2008 sebanyak 42.9%. 

Ini menandakan bahawa PAS memiliki kelebihan potensi dari sudut undi Melayu dengan cadangan persempadanan baru disamping faktor kelebihan isu seperti kemerosotan kekuatan UMNO dan kehilangan keyakinan pengundi Melayu terhadap UMNO. 

Dewan Ulamak Pas Selangor juga berpendapat bahawa, dalam pilihanraya umum nanti, PAS lebih mudah berdepan dan memancing dengan pengundi Melayu Islam daripada bukan Melayu dan bukan Islam disebabkan halangan disebut tadi. 

CADANGAN DAN SARANAN

Maka berdasarkan hujah-hujah yang dikemukan, dengan ini DEWAN ULAMAK PAS NEGERI SELANGOR ingin mencadangkan,

1. PAS SELANGOR harus meletakkan satu matlamat dan sasaran baru dalam mendepani PRU 14 akan datang iaitu penyertaan pilihanraya dengan hasrat dan bersedia untuk memimpin kerajaan.

2. PAS Selangor harus menambahkan kerusi DUN baru pada PRU 14 selain 20 kerusi sebelum ini. Iaitu disarankan kerusi DUN yang memiliki 55% - 60% kerusi Melayu, maka PAS Selangor kena bersedia untuk meletakkan calonnya. Dijangka sekurang-kurangnya 36 kerusi DUN iaitu tambahan 16 kerusi. Di samping meneroka kerusi campuran atau majoriti bukan melayu sebagai kerusi ditandingi oleh DHPP.

3. PAS Selangor dicadangkan agar mengemukakan " Kabinet Bayangan " sebagai persediaan membentuk kerajaan setelah memperolehi mandat memimpin kerajaan di Selangor. Kabinet ini sebagai satu bentuk pembinaan " self confidence " keyakinan diri dan dalam masa menyakinkan kepada pengundi akan kesungguhan PAS. 

4. Mengemukakan manifesto pilihanraya yang menekankan aspek penerapan dan pemantapan Islam di selangor seperti perlaksanaan RUU 355 dan Syariah Islam lain umpamanya meletakkan simpanan rezab negeri berlandaskan shariah, bebas riba, atau perbankan Islam, sistem gaji dan sebagainya. Ini adalah tanggungjawab Islam dan juga melaksanakan hasrat pengundi Melayu Islam di Selangor.

5. PAS Selangor diminta agar tidak lagi dibayangi dengan DAP dan rakannya PAN dalam perencanaan kerusi pilihanraya dan juga sebagai rakan strategik pilihanraya. Ini akan menyukarkan PAS untuk membuatkan keputusan dengan bebas. 

6. PAS Selangor juga diminta memberikan fokus dan tumpuan kepada kepentingan dan hak Melayu di Selangor seperti bahasa, tanah dan agama Islam. Ini bagi menyakinkan masyarakat Melayu Islam di Selangor bahawa PAS adalah sebuah parti yang mampu membela kepentingan dan hak mereka.

7. PAS Selangor mesti meletakkan konsep Parti Menguasai Kerajaan sebagai dasar berkerajaan supaya peranan PAS benar-benar efektif dan berkeupayaan dalam kerajaan. Ini adalah kerana kelangsungan PAS mestilah dipertahankan, sebab PAS tetap wajib bergerak walaupun tiada kerajaan. 

8. PAS Selangor disarankan tidak memberi laluan mudah kepada PKR untuk bertanding di kerusi tradisi PAS dan di kawasan yang memiliki kelebihan kekuatan jentera PAS. 

9. PAS Selangor disarankan juga agar memaksimumkan kekuatan jentera PAS hanya untuk calon yang ditandingi PAS sahaja bukan kepada pihak lain kecuali situasi yang diizinkan. 

10. PAS Selangor juga dalam menghadapi pilihanraya perlu meletakkan paksi Aqidah yang jelas iaitu kebergantungan yang tinggi dengan pertolongan Allah s.w.t. kita merancang, bersedia dengan serba kemampuan dan diserahkan kepada Allah.

********************

Menurut ucapan tersebut Ketua Dewan Ulama PAS Selangor, dia mendakwa PAS Selangor jadi "mangsa sebahagian percaturan politik machiavelli (politik menghalalkan cara) rakannya" yang "bercanggah dengan akhlak dan displin perjuangan berprinsipkan al Quran dan as Sunnah." Kasihan sungguh PAS. Ia ingin sangat bertanding di Kota Damamnsara, tetapi PKR (melalui Dr Nasir, PSM) degil mahu bertanding juga. Akibatnya UMNO menang. Jahat betul politik machiavelli PKR. Tetapi entah kenapa DAP pula yang dipersalahkan.

PAS tidak akan memberi laluan mudah untuk bertanding "di kerusi tradisi"nya. Ini bermakna PAS akan bertanding di kerusi yang ditandingi oleh PKR. Hasrat ini disebut dalam cadangannya untuk bertanding "sekurang-kurangnya 36 kerusi DUN iaitu tambahan 16 kerusi." PAS juga dilihat mahu bertanding di kawasan yang dikuasai DAP melalui DHPP.

Ketua Dewan Ulama Selangor seolah-olah menyokong persempadanan baru kerana kononnya "menjadikan kerusi DUN majoriti Melayu lebih kukuh tanpa dirisaukan pengundi bukan Melayu." Kononnya dalam memancing undi PAS sudah tiada halangan lagi.

Di atas logik itulah, Ketua Dewan Ulama PAS Selangor melihat "PAS memiliki kelebihan potensi dari sudut undi Melayu dengan cadangan persempadanan baru."

Patutlah Iskandar A. Samad (PJ PAS Selangor) kata ulama duduk dalam perigi buta. Susah payah dia buat bantahan persempadanan semula!

 FB ISKANDAR A. SAMAD 

Apa kata Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor apabila ucapannya bocor?


Nah! Yong sudah paparkan seluruh ucapan Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor. Malahan sumber Yong menyatakan dia memiliki salinan audio ucapan tersebut. Fitnahkah?

Ketua Dewan Ulama PAS Selangor menyerang DAP dan PKR yang menjadi sekutunya dalam Kerajaan Selangor [menyerang Amanah sudah menjadi kelaziman]. Tetapi tiada sepatah perkataanpun dia menyerang pembangkang Selangor, yakni UMNO.

Tahniah PAS kerana mahu menegakkan Islam. Tahniah kerana menolak politik Machiavelli. Tetapi, kenapa tidak mahu lawan UMNO? (YSK). Bukankah UMNO paling kuat mengamalkan politik Machiavelli?

Fikir-fikirlah!

2 comments:

  1. Ngape tk habis habis kokaq sesama sendiri ulama jaga tokoh akhlak yg mulianya walaupun berpartysm malu kt non muslim teruk benor ke melayu neh tapi itu ujian dari Allah swt jua.

    ReplyDelete
  2. Blog Yong Suka Kuning telah di masukkan (added) ke blog saya. Harap maklumkan kepada saya sekiranya ada halangan dari tuan empunya blog.

    Terima kasih.

    ReplyDelete

Komen mengkomer Yong tapis. Yong tak gemor kalau komer singgah dan melalut dengan bahasa mencarut atau bersifat racist. Yong takkan terbitkan. Komen yang ada link iklan akan masuk dalam spam. Tak kira dari penyokong mana-mana parti. Tak puashati? Ini hak tuantanah - untuk terbit atau tidak terbitkan komen mengkomer.