Terlebih dahulu baca tulisan Ustaz Ahmad Awang yang tersiar dalam Malaysiakini:
Bahagian 1 27 Feb 2015 http://www.malaysiakini.com/news/290429
Bahagian 2 28 Feb 2015 http://www.malaysiakini.com/news/290498
Multaqa PAS 'bagai simbah minyak ke api'
Terlebih dahulu saya ingin ucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur atas berlangsungnya program Multaqa Ulama II yang baru sahaja selesai diadakan.
Usaha untuk menghimpunkan keseluruhan ahli PAS yang berlatarbelakang pendidikan agama melalui suatu multaqa adalah satu usaha besar yang sudah pastinya penuh cabaran.
Mungkin tidak salah kalau dikatakan ianya merupakan usaha menghadirkan keseluruhan kekuatan dan kemampuan ulama’ PAS dari seluruh negara demi menzahirkan peranan dan pengaruh ulama’ di dalam PAS.
Oleh kerana ia digambarkan sebagai ‘program mega’ yang begitu sifatnya, maka tidak salah kalau dikatakan bahawa harapan rakyat, dan ahli PAS khususnya, pasti begitu tinggi.
Mungkin diharapkan bahawa ia akan menjelaskan lagi arah tuju PAS sebagai rakan Pakatan Rakyat, yang sambil bergerak dalam kerangka gabungan ini, dapat mencapai aspirasi perjuangannya.
Sudah pasti seluruh rakyat mengharapkan kemelut yang berterusan dalam Pakatan, entiti politik yang dilihat sebagai harapan rakyat untuk menggantikan BN, akan dapat ditamatkan atau paling kurang dilunturkan hasil multaqa ini.
Kemungkinan diharapkan bahawa golongan ulama’ akan memberi nasihat dan tunjuk ajar yang berpaksikan carian mereka daripada khazanah keilmuan Islam yang begitu luas sehingga segala masalah dan perbalahan dapat diatasi berlandaskan al-Quraan dan sunnah.
Bagi ahli PAS pula, pastinya harapan yang tinggi bahawa perbalahan dalaman yang seolah-olah tidak terurus, sehingga mengusutkan lagi perasaan ukhuwwah dan silaturrahim dalam PAS itu sendiri, akan akhirnya dapat ditangani melalui kata-kata permata yang akan dihasilkan dari multaqa ini.
Kerana semestinya golongan ulama’ yang berkumpul melalui multaqa ini akan dapat melihat dan merasai keperluan menyelesaikan perbalahan yang semakin meruncing.
Di mana hasilnya?
Sewajarnya golongan ulama’ akan memberikan peringatan berhubung soal ukhuwwah dan persaudaraan dalam Islam. Sudah pasti kesan dari multaqa ini adalah penyatuan hati dan merapatkan saf, bukan sebaliknya.
Malangnya, apa yang diharapkan jelas tidak tercapai. Rakyat yang mengharapkan pembelaan kerana bakal ditimpa berbagai corak tekanan, sama ada ekonomi, sosial mahupun politik sudah pasti berasa hampa dan kecewa.
Bukan sekadar tidak memenuhi harapan bahawa Pakatan dapat dikukuhkan dan ditunjukkan jalan ke arah kerjasama yang lebih mantap dan bermakna, malah diungkitkan pula permasalahan-permasalahan yang dihadapi dan kemungkinan tergadainya prinsip Islam dengan penyertaan PAS dalam Pakatan.
Secara umum ia merupakan usul yang sama seperti usul multaqa ulama’ yang dianjurkan dua tahun lepas yang meminta tahalluf siyaasi (kerjasama politik) ‘dikaji semula’.
Tetapi setelah ditegur dan dikritik, maka diperjelaskan bahawa ‘kajian semula’ itu bermaksud “kaji semula ke arah memperbaiki dan mempekukuhkan lagi”!
Kalau benar itulah yang dimaksudkan pada ketika itu, maka di mana hasil kajiannya? Tidakkah hasil kajian itu patut dikemukakan dalam Multaqa II, lebih-lebih lagi dalam keadaan suasana perbalahan yang dihadapi dewasa ini?
Sudah pasti cadangan-cadangan dari Multaqa Ulama II ke arah pengurusan perbalahan dan penyelesaiannya amat sangat dialu-alukan. Malangnya, cadangan sedemikian rupa tidak sama sekali dikemukakan. Sebaliknya diulang kembali kekhuatiran dan ketakutan yang sama.
Begitu juga hampa dan kecewa pastinya ahli PAS yang sedang melihat perbalahan dalaman yang semakin meruncing.
Pecahkan atau kukuhkan Pakatan?
Multaqa ulama tidak menyediakan kata-kata hikmah serta kaedah bijaksana bagaimana ianya perlu diurus dan ditangani. Apa yang dilakukan sebaliknya adalah menyimbah lagi minyak ke atas api yang sedang membara, tidak mendatangkan penyelesaian tetapi sebaliknya merumitkan lagi.
Ia seolah-olah mengesahkan tuduhan-tuduhan liar bahawa ada pihak yang membawa fahaman sekular liberal dalam PAS, adanya usaha menjatuhkan presiden dan sebagainya.
Sedangkan itu semua pertuduhan yang bersifat rambang. Adakah perlu majlis sebesar dan sepenting Multaqa Ulama II membincangkannya tanpa pernah dibuat “tabayyun” dan membawa bukti lalu terus menjatuhkan hukuman?
‘Ulama bukan tiket dapat pujian, jawatan’
Agenda apa sebenarnya yang diutamakan oleh multaqa ini? Mengusahakan perpecahan PR atau pengukuhannya? Mengusahakan kesatuan saf dalaman PAS atau merenggangkannya?
Yang dilihat, ianya dianjurkan hanya pada tahun pemilihan. Yang dilihat ia menghasilkan usul pecah-belah dan persengketaan.
Adakah benar persepsi sebahagian bahawa program liqa’, neqad, ijtima’ dan multaqa itu sendiri adalah tidak lain melainkan usaha kempen untuk menjatuhkan pihak tertentu dan menaikkan yang lain?
Amat malanglah sekiranya ia benar sehingga tumpuan usaha ulama yang dibawa dari seluruh negara adalah untuk memburuk-burukkan pimpinan tertentu dan menjatuhkan mereka dan menaikkan golongan sendiri.
Politiking sempit sebegini tidak layak bagi ulama, apatah lagi dengan menggunakan nas-nas al-Quran dan hadis yang tidak kena pada tempatnya.
Harapan ahli supaya Multaqa Ulama II bebas dari politiking yang sebegini dan persidangan ini akan mengeluarkan usul mengutuk tadbir urus kerajaan Umno-BN yang rosak dan tempang, dasar ekonominya yang membebankan rakyat, politiknya yang rakus dan zalim serta salah guna kuasa yang terang dan nyata.
Harapan ahli supaya multaqa ini menjadi pendorong untuk meningkatkan usaha menjatuhkan Umno-BN supaya Islam boleh bebas membangun. Dengan itu juga saf yang telah sengaja direnggangkan oleh golongan tak bertanggungjawab dapat dirapatkan kembali.
Tetapi tidak demikian. Agenda perubahan bagaikan hilang dengan tiupan bayu dan alunan lagu "perpaduan Melayu" yang di mainkan Umno dan konco-konconya terutama selepoas musibah "tsunami kecil" di Kelantan pada akhir tahun lalu.
Maka yang tinggal hanya perbalahan dalaman PAS dan Pakatan Rakyat. Adakah golongan Ulama PAS sudah hilang fokusnya dan tidak mampu memimpin perubahan ke arah keadilan dan negara berkebajikan?
Ingatan buat golongan ulama
Saya sebagai mantan ahli Majlis Syura Ulama (MSU) berbelas tahun merasa dukacita dan kesal ia tidak menzahirkan kehebatan dan kepimpinan ulama sepertimana yang saya harapkan.
Saya tertanya-tanya apakah tokoh multaqa yang lebih sepuluh orang pembentang dan pembahas itu terlupa pada perintah Allah seperti yang terkandung dalam firmannya yang bermaksud:
"Maka berkat rahmat Allah, engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkan lah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakkal." ( Surah Ali Imran ayat 159)
Hadis Rasulullah SAW: "Al-Ulama' warasatul anbiayaa" atau ulama adalah pewaris para Nabi bukan merupakan tiket untuk mendapat pujian dan dokongan serta kedudukan dan jawatan.
Ia sebaliknya merupakan amanah dan wawasan yang perlu dipenuhi dan dicapai oleh mereka yang digelar ulama. Supaya mereka akan ke depan memimpin masyarakat dengan ilmu dan ketaqwaan.
Kepimpinan ini pula bukan untuk dituntut atau ditagih atas alasan "saya ulama", tetapi sebaliknya diperolehi dan dimenangi melalui proses perjuangan bersama rakyat sehingga kelebihan seseorang ulama terserlah.
Itu jugalah proses yang dilalui Rasulullah SAW yang akan mampu menyerlahkan diri manakala ulama dunia, walau panjang mana senarai ijazahnya, akan terpinggir dan ditinggalkan. Ini kerana ilmunya tidak dihayati mencorakkan diri dan kehidupannya.
Pada masa yang sama, hendaklah sentiasa diingati bahawa ilmu dan kefahaman berhubung agama Allah ini ianya adalah milik Allah. Allah boleh memberi kefahaman mengenai agama kepada sesiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya.
Ilmu bukan pada sijil, ijazah
Ketahuilah oleh itu bahawa ramai yang telah bersama PAS, walaupun tidak mempunyai kelulusan rasmi dari institusi pendidikan agama, sememangnya berilmu dan bukan dari golongan juhala' (orang yang jahil).
Ilmu itu bukan semata-mata terletak pada sijil atau ijazah universiti, tetapi terletak pada hujah keilmuan dan intelektual. Oleh itu segala yang ingin diusahakan perlu dikemukakan dan dihujahkan dengan jelas dan tersusun.
Jangan dituntut ketaatan atau wala' dengan secara membuta tuli atau taqlid tetapi perjelaskan dan pertingkatkan ilmu dan kefahaman masyarakat.
Jangan perlekehkan mereka yang tidak berpendidikan agama secara rasmi, sedangkan mereka mungkin memahami banyak persoalan dengan lebih mantap. Didikan yang telah mereka perolehi adalah didikan amali haraki bersama perjuangan Islam yang dipimpin ulama' muktabar.
Adalah diharapkan bahawa golongan ulama akan membebaskan diri mereka dari amalan ‘politiking’ sempit dan sebaliknya membina imej mereka sebagai badan yang bebas dari kepentingan jawatan dan pangkat atau kepentingan duniawi.
Mereka perlu memperlihatkan ulama' sebagai kumpulan ilmuan yang memimpin arus perubahan dengan menentang kezaliman dan penyelewengan.
Dengan itu mereka akan diterima sebagai pemimpin ummah dan melayakkan diri ke status ‘warasatul anbiyaa’. Zahirkan ketajaman keilmuan dengan membedah permasalahan kontemporari dan mengemukakan penyelesaiannya sambil menjadi pihak yang berdiri teguh di pihak keadilan dan kebenaran.
Itulah proses yang dimulakan pada 1982 apabila konsep kepimpinan ulama mula-mula diutarakan dengan tertubuhnya Majlis Syura Ulama. Proses ini masih lagi dalam perlaksanaannya dan MSU itu sendiri perlu terus diperkasakan. Jangan golongan ulama’ hilang fokus.
********************
Kelmarin Yong berpeluang berjumpa seorang aktivis dan pemimpin PAS akar-umbi yang telah berjuang lama di dalam PAS sejak tahun 80an. Kini dia hanya berada di tepi sahaja kerana kurang sihat. Boleh dikatakan aktivis ini tak baca berita internet. Tapi tidak bermakna dia tidak peka, kerana dia masih membaca Harakah dan Keadilan.
Dia amat terkejut apabila diberitahu mengenai gerakan oleh sekumpulan "ulama" PAS yang menuntut supaya Mat Sabu, Dr Hatta dan beberapa pemimpin PAS dipecat.
"Orang-orang ini amat hebat" Katanya. "Kalau dipecat dia orang ini, PAS akan pincang."
"Inilah rancangan musuh yang penuh tipu muslihat. Semuanya untuk menyambung jangka hayat UMNO."
Pemimpin akar umbi ini dapat melihat agenda jahat golongan yang ingin memecah-belahkan PAS. Tetapi kenapa ada segolongan pemimpin PAS yang tidak nampak?
Adakah retorik kepimpinan ulama itu hanya tipu muslihat yang tersembunyi demi mencari keuntungan diri sendiri?
Atau ulama PAS sememangnya tersangat naif dalam politik dan tidak nampak jerat-jerat yang menyerupai jerami di dataran yang sedang diterokai?
Ustaz Ahmad Awang telah mempaparkan kerunsingannya tentang sikap ulama dan halatuju perjuangan PAS dengan bahasa yang berlapik-lapik. Bahasa orang berilmu. Bahasa orang faqih. Bukan budak-budak tepi jalan (meminjam istilah Ustaz Wan Zawawi).
Kalau mengaku faqih, tetapi masih tak faham, baik berhenti dari terlibat dalam politik.
Ustaz Ahmad Awang telah mempaparkan kerunsingannya tentang sikap ulama dan halatuju perjuangan PAS dengan bahasa yang berlapik-lapik. Bahasa orang berilmu. Bahasa orang faqih. Bukan budak-budak tepi jalan (meminjam istilah Ustaz Wan Zawawi).
Kalau mengaku faqih, tetapi masih tak faham, baik berhenti dari terlibat dalam politik.
Jangan sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat yang diadang.